1. Tema : Semangat Kejiranan
Arah : Langkah
2. Tema : Gaya Hidup Sihat
Arah : Peranan ibu bapa
3. Tema : Disiplin
Arah : Peranan ibu bapa
4. Tema : Hubungan Kasih Sayang
Arah : Peranan ibu bapa
5. Tema : Riadah dan Rekreasi
Arah : Kebaikan
6. Tema : Kehilangan Kanak-kanak
Arah : Langkah mengatasi
7. Tema : Keselamatan Kanak-kanak
Arah : Peranan sekolah, ibu bapa dan masyarakat
8. Tema : Bangunan Bersejarah
Arah : Kepentingan menjaga dan Langkah memulihara
9. Tema : Gejala Sosial / Lumba Haram
Arah : Langkah-langkah mengatasi
10. Tema : Polisi Sekolah Selamat
Arah : Usaha pihak sekolah
11. Tema : Jenayah Antarabangsa
Arah : Kerjasama antara negara (Langkah)
12. Tema : Tabungan
Arah : Faedah dan Usaha
13. Tema : Pelancongan (Inap Desa)
Arah : Langkah-langkah meningkatkan
14. Tema : Penyakit Berjangkit
Arah : Bentuk kerjasama antara negara (Langkah mengatasi)
15. Tema : Pengangkutan Awam
Arah : Langkah memperkasa / Kepentingan
16. Tema : Membaca
Arah : Cara menggalakkkan
17. Tema : Alat Komunikasi (Telefon Bimbit, Internet)
Arah : Kesan
18. Tema : Perpaduan Kaum
Arah : Peranan keluarga meningkatkan perpaduan kaum
19. Tema : Industri Kraftangan
Arah : Langkah-langkah memperkasakan
20. Tema : Rancangan Televisyen Realiti
Arah : Usaha ibu bapa mengawal kecenderungan menonton rancangan televisyen realiti
Isnin, 23 Mei 2011
Tajuk Karangan SPM Yang Perlu Diberi Perhatian Tahun 2011
Ahad, 1 Mei 2011
Sedetik berlalu
membawa aku menyongsong kenangan lalu
menghanyut aku ke lembah belantara mimpi
memayung hujan peristiwa dulu
mengimbau ke segenap penjuru kalbu
membuka lembaran hidup lelah
mengejar impian merah bernyala
api semangat membakar lara
mengheret entah bila
Renyah kedamaian itu
melihat aku yang tidak tentu
belum kelihatan arah tuju
Ada cinta mengetuk pintu
terbiar hapus ikut waktu
pada wajah lesu
belum cukup
jitu
aku
biar berlalu
sanggup
tidak
sedetik berlalu
Remy, Tiss
Jumaat, 29 April 2011
Lakonan Kehidupan
aku berlari mengejar bayang-bayang
teraba-raba dalam gelap dan bertanya
mana bayang-bayang hidupku?
Siang tadi bayang-bayang datang bersama mentari
mengekori langkahku ke segenap pencarian hidup
semakin lama bayang-bayang berselindung di balik wajah
kepura-puraan rupanya
aku tidak berpijak di bumi nyata
melakonkan watak badut yang menangis kesiangan
di wajah terpalit warna sendu
di hati menangis pilu
Lakonan sudah berakhir
aku kembali ke bumi nyata
menampar pipiku terasa sakit
benar aku tidak mimpi
berjalan di alam khayal
biar aku penat
menyapu air mata sayu
piala kemenangan tak pernah kurangkul
layar hidup sudah kututup
menanti ceritera baru
dipentas semula
di atas dinding kepalsuan
Tiss, Batu Pahat
Selasa, 5 April 2011
Seorang perempuan tua
melurut rambut usianya yang semakin senja
menunggu muara pencipta yang bakal kunjung tiba
hatinya sendu melara minta ditemani
Seorang perempuan tua menyikat usia tuanya
bersama mimpi indah semalam yang berlalu
belum tentu dapat menyingkap sejarah silam
mengimbau pahit maung kehidupan fana
Seorang perempun tua mengurut letih kaki kedutnya
menampakkah jaringan gigi condong belum masa menyembah bumi
melemparkan senyum hambar ke ruang bisu
dalam wajah perempuan tua ada makna yang tersirat
yang perlu diungkapkan menjelang pengakhir usia
Tiss - Remy
Jumaat, 1 April 2011
Latihan Puisi Tradisional Tingkatan 5
Md. Ali Bachik (ILADAM) (Penyelenggara
PANTUN ENAM KERAT
Putik kelapa menjadim muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.
Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
ILADAM dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)
Soalan pemahaman
(i) Berikan maksud ibarat melukt di tepi gantang [2 markah]
(ii) Mengapakah kita tidak boleh melupakan jasa kawan lama walaupun kita tidak lagi berkawan dengan mereka? [3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam pantun tersebut.
[4 markah]
Malam
bersama bisikan syahdu
sendu mengiringi aku
meniti perjalanan kembara sendu
desiran semilir angin malam
membawa renungan jauh
di sebalik kabut kelmarin
melintasi ruang waktu yang cepat berlalu
memaku aku ke dalam diriku
erti malam sungguh dalam
bagi aku yang masih perlu menghitung hari-hari usiaku
menunggu malam-malam datang
menguliti aku dengan seribu janji penyesalan
Tiss
1 April 2011
Ahad, 20 Mac 2011
Latihan Rumusan 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan faktor-faktor kanak-kanak memilih makanan kurang berkhasiat dan kesan pemakanan tersebut kepada kanak-kanak. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.
Kecenderungan kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan mula tertarik dengan iklan-iklan makanan segera yang mengiurkan. Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna, dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan kemudaratan. Begitu juga dengan kandungan lemak tepu, gula, dan garam yang tinggi ditambah kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.
Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat malah, beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak lambakan pil vitamin yang boleh diperoleh di farmasi-farmasi dan ejen-ejen jualan langsung. Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplimen seperti ini.
Menurut, Coughlin dalam jurnalnya yang bertajuk ‘Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence’ terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, antaranya apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah yang kononnya bertujuan untuk dinikmati semasa bersantai sambil menonton televisyen bersama keluarga di rumah. Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat. Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak , yogurt atau kismis.
Keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran adalah terhad kerana ada ibu bapa yang memaksa anak-anak makan satu-satu jenis makanan sahaja. Hal ini akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa. Maka, ibu bapa harus bijak mempelbagai jenis dan cara makanan disajikan namun yang penting, khasiat makanan tetap terpelihara dan mendatangkan manfaat kepada perkembangan minda dan fizikal anak-anak. Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng, seperti yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak juga mempunyai emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan. Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka. Kesimpulannya pemilihan makanan yang tepat membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.
Dipetik daripada Motivasi dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa
sumber daripada Vijayaletchumy Subramaniam
Pelita Bahasa oktober 2008Soalan 2:Pemahaman
Soalan Pemahaman
Jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata mendatangkan krmudaratan
[2 markah]
2 Apakah kesan yang wujud apabila anak-anak mengambil makanan segera secara tidak terkawal?
Berikan tiga kesan. [3 markah]
3 Ibu bapa yang bijak mampu menyediakan makanan yang seimbang kepada anak-anak untuk menjaga kesihatan. Pada pendapat anda , bagaimanakah cara lain untuk menjaga kesihatan yang baik?
Berikan empat cara. [4 markah]
Sabtu, 19 Mac 2011
Kuasa-Nya
Tak tergambar kekuasaan-Mu
Tak terhitung kegemilangan-Mu
Tak terucap kegahan-Mu
Sekelip mata ombak menggulung tinggi
Sekelip mata menghanyut puing-puing ciptaan manusia
Sekelip mata meratakan permukaan daratan
Sekelip mata menjadi padang jarak padang terkukur
Jangan kau tentang kuasa-Nya
Jangan kau halang anugerah-Nya
Jangan kau kesal keagungan-Nya
Jangan kau tolak pemberian-Nya
Kita perlu bersyukur dengan nikmat-Nya
Kita perlu bertafakur dengan inayat-Nya
Kita perlu muhasabah dengan ujian-Nya
Kita perlu sedar dengan cabaran-Nya
Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat-Nya
Marilah kita membanyakkan sujud kepada-Nya
Marilah kita mengambil iktibar daripada pengajaran-Nya
Marilah kita menyedari kekuasaan-Nya
Tiada yang lain selain MAHA PENCIPTA
Remy , Mac 2011
Ahad, 6 Mac 2011
Latihan Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan langkah-langkah menangani masalah emosi pelajar dan kebaikan mengatasinya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.
Tragedi seorang pelajar mati akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah memang menyayat hati. Begitu juga dengan cubaan pelajar perempuan tingkatan tiga yang diserang histeria mengancam untuk terjun dari tingkat dua bangunan sekolah mujur dapat diselamatkan. Dua kejadian ini walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil namun tidak boleh diambil mudah kerana berkait rapat dengan masalah emosi pelajar. Sakit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar melibatkan mental.
Oleh sebab itu, satu makenasisme mengenal pasti masalah depresi mental dari peringkat awal perlu diwujudkan oleh pihak sekolah agar dapat ditangani seawal mungkin sebelum menjadi serius. Sebagai permulaan, kaunselor di sekolah perlu memainkan peranannya supaya masalah berkaitan emosi pelajar ini tidak melarat sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Kaunselor tidak lagi boleh hanya sekadar mengadakan program berkaitan universiti terbaik, kerjaya pilihan atau teknik menjawab soalan tetapi perlu meluaskan skop bidang mereka. Seharusnya kaunselor perlu menganjurkan program yang boleh mewujudkan kesedarah ke arah mengenal pasti punca, simptom dan kaedah menangani masalah berkaitan emosi.
Manakala pentadbir sekolah dan guru kelas pula perlulah sentiasa peka dengan sebarang perubahan sikap dan tingkah laku pelajar. Mereka perlu mengambil tindakan segera dan jangan mengambil mudah sebarang ugutan atau ancaman khususnya yang dinyatakan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Dalam pada itu, langkah kementerian kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah mulai Januari 2011 tepat pada masanya. Modul tersebut diperkenalkan di empat buah sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Pada masa yang sama, pentadbir sekolah dan guru juga perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, berikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk beriadah bagi mengurangkan tekanan dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum khususnya untuk pelajar yang bukan pada tahun peperiksaan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum boleh menyihatkan badan, menambahkan kemahiran dan membentuk semangat berpasukan. Malah aktiviti kokurikulum juga memberi kelebihan kepada pelajar untuk memasuki universiti awam.
Pelbagai pendekatan juga perlu difikirkan oleh pihak sekolah. Kerjasama rumah dan sekolah amat membantu dalam menangani permasalahan emosi pelajar. Paling mudah, ibu bapa akan segera memberitahu pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menghadapi masalah selain menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah menangani masalah tersebut. Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga boleh mewar-warkan pelbagai kaedah penyelesaian terbaik kepada masyarakat agar masalah emosi pelajar ini dapat diatasi.
Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan pentadbir sekolah dan guru untuk menjadualkan aktiviti pelajar supaya dapat melahirkan modal insan yang holistik, bijak, sihat dan berpersonaliti unggul.
(Diubahsuaikan daripada rencana Menangani Masalah Emosi Pelajar oleh Azmy Mohamed, Utusan Malaysia, 14 Februari 2011)
Soalan Pemahaman
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata berpersonaliti unggul. [2 markah]
2 Berikan tiga kebaikan sekiranya pelajar-pelajar menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
[3 markah]
3 Sekiranyanya anda menghadapi masalah emosi, bagaimanakah penyelesaian terbaik untuk menghadapi masalah tersebut?
Berikan empat cadangan. [4 markah]
Selasa, 23 November 2010
Novel Kabus Di Perbukitan (Novel Ting.5 SPM 2011)
Bab 1 : Pucuk-pucuk Kayu di Hadapan Matanya
Rahayu sukar bangun pagi kerana menyiapkan tugasan pada malam sebelumnya. Badannya juga kurang sihat. Namun dia bergegas bangun kerana dia berjanji akan ke perpustakaan bersama-sama Azrul. Tepat pukul 8.00 dia tiba di perpustakaan. Azrul mengajak Rahayu bersarapan terlebih dahulu dan mereka berbual-bual tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Rahayu memberitahu dia berasa lega apabila dapat menyiapkan tugasan. Azrul pula menceritakan rancangannya untuk ke KLCC pada hujung minggu kerana menyertai kempen Persatuan pencinta Alam. Kempen itu dinamakan Save Our River untuk menyelamatkan sungai yang tercemar. Rahayu berminat ikut serta dan niat itu dipersetujui oleh Azrul. Mereka berdua memang akrab dan berhasrat untuk berkahwin. Malahan perhubungan mereka juga tidak ditentang oleh ibu bapa masing-masing. Azrul sangat aktif dalam aktiviti alam sekitar. Dia sering menyertai ekspedisi mendaki gunung. Rahayu pula berminat dengan aktiviti Azrul tetapi dia menghidap penyakit asma. Dia merupakan pelajar dalam jurusan pembangunan manusia. Ketika di perpustakaan, tiba-tiba Ayu jatuh dan pengsan. Dia dikejarkan ke Pusat Kesihatan UPM. Ketika itu imbas kembali memaparkan kisah faridah dan Mastura. Faridah mahu ke Raub dengan memandu van. Dia ingin menenangkan fikirannya. Tunangnya telah memutuskan pertunangan mereka tanpa sebarang alasan. Dalam perjalanan tiba-tiba Faridah disapa oleh Iqbal, seorang muridnya yang mengalami sindrom down. Hal ini amat mengejutkan Faridah yang melihat Iqbal bersama-sama Mastura ketika dia bertolak. Faridah hilang kawalan terhadap vannya lalu melanggar penghadang jalan. Vannya terjatuh ke dalam gaung.
Bab 2 : Hilang Tanpa Jejak
Ghazali dan Said iaitu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat telah ke rumah Faridah untuk menyampaikan berita kehilangan Faridah dan Iqbal. Salmah , ibu Faridah berasa sangat sedih menerima berita itu kerana Faridahlah tempat dia bergantung. Majlis sembahyang hajat dan doa selamat diadakan di kampung diketuai oleh Imam Haji Sohod. Ghazali dan Said pergi ke Bukit Fraser untuk mengetahui maklumat tentang kehilangan Faridah. malam itu mereka ditemani oleh pegawai-pegawai polis telah ke tempat kejadian. Namun mereka hanya dapay melihat van yang berada lebih kurang 50 kaki di dalam gaung. Pihak penyelamat akan menarik van itu keluar dengan bantuan anggota tentera. Malam itu Ghazali dan Said bermalam di Rumah Rehat Gap di Bukit Fraser. Mereka ditemani oleh beberapa orang pegawai polis termasuk Sarjan Yusoff. Keadaan yang terlalu sejuk menyebabkan Ghazali mengenang nasib Faridah dan Iqbal yang masih hilang. Semua usaha yang dijalankan termasuk menggunakan pasukan Senoi Praak untuk mengesan mangsa menemui jalan buntu. Sarjan Yusoff mencadangkan agar mereka menggunakan bomoh kerana bimbang ada pengaruh makhluk halus dalam kejadian tersebut. Akan tetapi Ghazali kurang bersetuju dengan cadangan itu. Mereka hanya mampu berdoa dan akan mendapatkan bantuan helikopter Tentera Udara untuk meneruskan usaha menyelamat.
Bab 3 : Bersarang di Dalam Dada
Berita kehilangan Faridah disampaikan kepada bapanya Mejar(B) Kamarudin yang sudah berkahwin dengan Hamidah tidak memberitahu isterinya tentang Faridah yang merupakan kembar seiras Rahayu. yang membezakan kedua-dua beradik itu ialah Faridah mempunyai lesung pipit dan Rahayu tidak memilikinya. Namun Hamidah tidak menghalang suaminya pergi ke tempat kejadian. Sepeninggalannya Kamarudin , Hamidah mendapat berita tentang Rahayu yang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan, cheras. Pihak hospital mahu berjumpa dengan ibu bapa Rahayu untuk membincangkan masalah kesihatan Rahayu. Azrul menunggu Hamidah ketika wanita itu sampai. Setelah bertemu dengan Rahayu yang terbaring di katil. hamidah diminta untuk bertemu dengan Dr. Susan yang merawat Rahayu. Melalui pemeriksaan Dr. Susan, terdapat tompok-tompok dikesan melalui x-ray dalam dada Rahayu. Tompok-tompok putih itu mula menjalar ke pangkal leher dan menyebabkann leher Rahayu membengkak. Pihak hospital meminta kebenaran agar ujian biopsi ke atas Rahayu dapat dijalankan untuk mengesan sel-sel kanser. Hamidah memberikan kebenaran agar ujian biopsi dijalankan terhadap Rahayu. Setelah menjalani ujian tersebut Rahayu dibenarkan pulang. Azrul membantu Rahayu ketika Rahayu di rumah. Nota-nota kuliah dan tugasan disampaikan kepada Rahayu.
Bab 4 : Air Mata dan Rambut yang Berguguran
Rahayu dirawat di hospital. Dia berasa sangat sedih dengan keadaannya. Azrul tetap datang menemani Rahayu di wad. Keadaan penyakit Rahayu semakin serius. Rambutnya gugur setelah menjalani rawatan kimoterapi. Hamidah juga tetap setia menjaga anak tirinya itu. Perasaan Rahayu bertambah tertekan apanila Suhaila yang menjadi rakannya di wad meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia Suhaila memberikannya beberapa buah novel cinta untuk dibaca. Mejar (B) Kamarudin tidak dapat menahan kesedihan melihat keadaan anaknya yang menderita. Azlin iaitu jururawat yang menjaga Rahayu di wad menjadi teman rapatnya. Azlin melayan Rahayu dengan baik agar Rahayu tidak terlalu tertekan dengan penderitaannya. Dr. susan hanya memberikan masa tiga bulan untuk Rahayu terus hidup. Dalam pada itu, Rahayu tetap mengingati kakaknya faridah yang nasih hilang.
Bab 5 : Bukit Kutu
Faridah yang hilang selepas kemalangan terasa dirinya berada di tempat yang asing. Dia seolah-olah berada di sebuah rumah zaman kolonial. Tempatnya agak eksklusif di sebuah kawasan peranginan tempat tinggi. Tuan rumah itu seorang lelaki kulit putih bernama Tuan Cecil Renking yang fasih berbahasa Melayu. Faridah mula berasa dia tidak berada di alam maya. Dia bertanya bagaimana dia berada di tempat itu. Dia diberitahu bahawa orang Penghulu Garang yang menjumpainya bersama-sama Iqbal lalu dibawa ke situ. Dia diberitahu bahawa tempat itu bernama Bukit Kutu. Ketika dia tidur dia bermimpi bertemu dengan adiknya Rahayu. Mereka berdua seolah-olah berkomunikasi antara satu dengan lain. Rahayu meminta Faridah pulang kerana Bukit Kutu deolah-olah satu dunia yang berbeza. Di hospital Rahayu kelihatan seperti meracau-racau. Dr. Susan berkata perkara itu merupakan kesan morfin iaitu ubat yang digunakan untuk merawat Rahayu. Dr. Susan juga diberitahu oleh Hamidah tentang Faridah. Dr. Susan mula menyedari bahawa ada hubungan bawah sedar antara Rahayu dan Faridah.
Bab 6 : Hanya pada Harapan
Azrul berasa sedih dengan penderitaan yang dialami oleh Rahayu . ketika dia melawat Rahayu di rumahnya, gadis itu berkata dia hanya menanti kematian. Rahayu juga meminta agar Azrul meneruskan cita-citanya untuk membuka perniagaan berasaskan pertanian. Hamidah memahami perasaan Azrul. Dia memujuk Azrul dengan mengatakan orang yang berpenyakit memang berkelakuan seperti Rahayu. Azrul pulang dengan perasan yang hambar. Satu sidang akhbar diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub untuk mengumumkan penamatan usaha mencari dan menyelamat Faridah dan Iqbal. Namun pihak polis berjanji untuk meneruskan siasatan kes yang dikategorikan sebagai orang hilang. Penamatan operasi itu menyebabkan Kamarudin berasa kecewa. Dia membuat keputusan untuk mencari anaknya sendiri memandangkan kembar Faridah sedang sakit dan berhajat untuk bertemu dengan kakaknya itu. Kamarudin berhasrat untuk meminta bantuan rakannya, Buyung untuk membantunya mencari Faridah.
Bab 7 : Kabus di Perbukitan
Kamarudin memulakan usaha mencari anaknya Faridah di hutan. Dia ditemani oleh Buyung yang juga bekas tentera. Kamarudin berasa dirinya tidak secergas semasa masih berkhidmat dalam angkatan tentera sebelum dia bersara 15 tahun yang lalu. Buyung masih seperti dahulu iaitu dia sangat suka menghisap rokok gulung. Kamarudin mengajak Buyung mencari Faridah di Bukit Kutu. Katanya Rahayu sering meracau dan menyebut Bukit Kutu. Dia teringat akan Rahayu yang sedang sakit. Dia juga menghantarkan Rahayu untuk bertemu dengan ibu kandungnya Salmah di Sungai Besar. Dia mahu memenuhi semua kehendak Rahayu kerana dia berasa bersalah terhadap semua pergolakan yang berlaku dalam keluarga mereka. Setelah lima jam mendaki, mereka sampai di puncak Bukit Kutu. pemandangannya sangat indah. Kamarudin dan Buyung bermalam di bukit itu ketika malam tiba. Keadaan malam sangat gelap dan berkabus. suasana sangat dingin. Kamarudin bertanya pada Buyung tentang kemungkinan kehilangan Faridah ada kaitan dengan makhluk halus. Hamidah menghubungi Kamarudin untuk memberitahu perkembangan keadaan Rahayu. Menurutnya Rahayu ada memberikan gambaran tentang tempat Faridah hilang. Berdasarkan panduan itu, Kamarudin meneruskan pencarian. Mereka cuba mencari kawasan petempatan orang asli kerana gambaran yang diberikan oleh Rahayu ada kaitan dengan kawasan orang asli.
Bab 8 : Terus Mencari
Kamarudin dan Buyung meneruskan pencarian hingga ke sempadan negeri Pahang. Dalam perjalanan mereka mendengar bunyi salakan anjing dan suara kanak-kanak. Mereka berjumpa dengan kawasan orang asli suku Temuan. Buyung menceritakan tujuan kedatangan mereka kepada Tok batin Senik. Setelah mendengar cerita Buyung, Tok Batin Senik mengajak mereka ke rumahnya. Di situlah Kamarudinmendapati Faridah sedang tidur. Kepalanya berbalut dengan kain putih dan ada kesan darah. Tok batin Senik menjelaskan bahawa Faridah dijumpai di Sungai Dua. Keadaan Faridah waktu dia ditemui oleh orang asli seperti kebingungan dan tidak ingat akan namanya. Iqbal mengikut Meor untuk meminta bantuan. Tok Batin Senik menyuruh anak buahnya menebas semak untuk dijadikan kawasan pendaratan helikopter. Akhirnya Faridah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan helikopter. Berita tentang penemuan Faridah tersebar ke seluruh negara.
Bab 9 : Pekan Sungai Kubu
Bab ini mengisahkan imbas kembali yang berlaku suatu ketika dahulu di Pekan Sungai Kubu. secara bawah sedar, Faridah seolah-olah berada di tempat tersebut dan menyaksikan suasana kehidupan di situ. Penduduk keluar ke pekan membeli barang keperluan selepas hujan teduh. Terdapat 12 buah kedai di pekan kecil itu. Orang Melayu dan Mandailing mempunyai empay buah kedai. Pekedai Cina menjual pelbagai barang keperluan. Ada sebuah kedai yang menjual candu untuk pekerja-pekerja lombong. Rumah kayu milik Tuan Cecil Renking terletak di atas bukit. Kebanyakan penduduk bekerja sebagai pelombong bijih timah. Bijih diangkut dengan kereta kuda melalui pondok cukai yang dijaga oleh Penghulu Garang. Faridah dibawa oleh Amah Siti ke pasar. Faridah tertarik dengan cara orang dulu-dulu berkomunikasi dengan penuh adat sopan. Setelah sebulan tinggal di Sungai Kubu, Faridah mula menyesuaikan diri. Namun, dia masih tidak dapat mencelikkan mata. Dia berharap untuk pulang ke Sungai Besar. Akan tetapi Amah Siti mengatakan Sungai Besar sangat jauh dari tempat mereka. Di rumah Tuan Cecil, Faridah dan Iqbal diberikan sebuah bilik kecil, bersebelehan bilik Amah Siti. Tuan Cicil diberitahu tentang kewujudan buaya keramat di empangan bijih. Namun, Tuan Cecil tidak percaya tentang unsur keramat. Beliau mengambil keputusan untuk menembak buaya itu. Tindakan Tuan Cecil tidak disenangi oleh Penghulu Garang. Katanya tempat itu akan ditimpa bala akibat perbuatan Tuan Cecil itu. Penghulu Garang menyuruh orang berpindah meninggalkan tempat tersebut.
Bab 10 : Kauhadir dalam Igauan
faridah dirawat di wad kecemasan hospital tetapi belum sedar. Tubuhnya penuh dengan kesan gigitan dan calar-balar. Ghazali sedih melihat keadaan Faridah yang terlantar. Setelah keadaan stabil, Faridah dipindahkan dari wad rawatan rapi. Hanya duga orang pelawat dibenarkan melawat Faridah pada satu-satu masa. Rahayu dibawa melawat Faridah. Dia menangis sambil menggenggam tangan kakaknya. Dia bercakap dengan Faridah yang masih tidak sedarkan diri. Akibat berasa lemah kerana baru menjalani kemoterapi, Rahayu meletakkan kepalanya di tepi dada Faridah. Dia tertidur dan bermimpi rumah mereka digenangi air. Dalam mimpi itu, kedua-dua adik-beradik itu seolah-olah bercakap antara satu sama lain. Tiba-tiba suasana dikejutkan oleh raungan Faridah menyebut nama Rahayu. Pada masa itu juga Rahayu didapati telah meninggal dunia.
Bab 11 : Kasih Ibu Sepanjang Jalan
Kematian Rahayu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap ibu kandungnya, Salmah. Dia sering teringat akan Rahayu dan mula diserang sakit jantung. Suatu pagi Salmah mahu ke pasar di Sungai Haji Dorani. Dia mahu membeli belacan di gerai Pak Talib. Ghazali sering datang untuk membantu Faridah. Salmah mencadangkan agar Faridah berkahwin dengan Ghazali tetapi Faridah berasa malu dan bimbang dianggap perigi mencari timba. Namun demikian Ghazali telah berterus terang untuk mengambil Faridah sebagai isteri. Rombongan peminangan akan dihantar untuk meminang Faridah secara rasmi. Faridah seba salah. Dia bimbang kekecewaan pertama akan berulang kembali. Akhirnya Faridah bersetuju untuk menerima Ghazali sebagai teman hidupnya. Salmah berasa sangat gembira dengan persetujuan Faridah.
Bab 12 : Tekad
Azrul menamatkan pengajiannya di UPM. Namun demikian beliau tidak berminat untuk bekerja makan gaji. Dia mahu memulakan projek ternakan kambing. Pasaran kambing di negara ini semakin besar. Berdasarkan kajian Azrul, terdapat pelbagai spesies kambing yang sesuai dipelihara. Keputusan Azrul mendapat sokongan bapanya tetapi ibunya agak resah. Suatu hari, Azrul menziarahi kubur arwah Rahayu. Dia terserempak dengan Faridah yang kebetulan menziarahi kubur adiknya. Dia teringat akan kisah kehilangan Faridah ketika Rahayu sedang dirawat di hospital. Mereka berdua berkenalan. Namun kehidupan Azrul agak muram kerana masa terkenangkan Rahayu. Dia banyak termenung hingga disedari oleh ibunya. Namun Azrul menyakinkan ibunya bahawa dia akan meneruskan niatnya untuk bekerja sendiri. Dia tetap menjadikan Rahayu sebagai pencetus semangatnya untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar.
Bab 13 : Rindu
Ghazali telah bertukar ke Kelang. Dia hanya pulang ke rumah dua atau tiga kali dalam seminggu. Faridah masih tinggal di Sungai Besar untuk menemani ibunya. Salmah pula meneruskan kehidupan dengan mengerjakan sawah. namun dalam jiwanya dia sangat rindu akan anaknya. Bertahun-tahun dia terpisah dengan Ayu setelah dibawa pergi oleh Kamarudin selepas mereka berpisah. Fikiran Salmah semakin terganggu. Dia sering menziarahi kubur anaknya itu. Dia sering teringat saat-saat terakhir kehidupan Ayu, ketika anak gadisnya pulang untuk bersama-sama dengannya. Oleh sebab itu dia sangat sukar melupakan Rahayu, walaupun dua tahun selepas Rahayu meninggal dunia. faridah dan Ghazali bimbang dengan keadaan Salmah. Faridah menceritakan tentang Azrul kepada Ghazali. Katanya Azrul terlalu sayang akan arwah Rahayu. Kini Azrul mengusahakan ternakan kambing dan tapak semaian. Dia mahu mengotakan janjinya dengan arwah Rahayu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.
Bab 14 : Ibu, Angin Telah Menderu Pergi
Faridah bangun awal pagi, iaitu pukul 4.00 pagi. Dia menunaikan solat tahajud. Entah mengapa hatinya berasa resah. Ketika fajar menyingsing, Faridah membasuh beras kerana ibunya berpesan kepadanya untuk masak nasi lemak. Faridah berasa hairan kerana ibunya lambat bangun pagi itu. Ketika cuba dikejutkan, barulah dia sedar bahawa ibunya telah meninggal dunia. Faridah memeluk tubuh ibunya dengan penuh kasih. Dia berasa pemergian ibunya ialah titik akhir penderitaan orang tua itu.
Bab 15 : 25 Tahun Kemudian - Cintaku Abadi
Faridah kini berada di New Zealand. Dia telah berhijrah ke negara itu sejak 25 tahun yang lalu. Dia tinggal di Rosewood iaitu pekan kecil berhampiran bandar Christchurch. Dia telah berkahwin dengan Soleh Johnsons dan memiliki dua orang anak perempuan, Anne dan Melina. Faridah melalui kenangan pahit di tanah air sendiri. Tidak lama selepas ibunya meninggal dunia, Ghazali pula meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia hampir gila dengan tekanan hidup akibat kehilangan orang yang tersayang. Nasibnya baik apabila dia ditawarkan oleh ibu pejabat JKM untuk berkursus selama enam bulan di New Zealand. Selepas itu dia tidak balik-balik lagi ke kampung kerana telah bertemu jodoh dengan Soleh Johnsons. Ingatannya terhadap Sungai Besar tetap abadi. Suaminya memahami perasaan Faridah. Soleh mengusahakan kawasan ternakan dan pusat penyembelihan kambing. Dia sering mengupah pelajar Islam dari negara luar untuk menyembelih kambing sebagai kerja sambilan.
Bab 16 : Mengejar Mimpi-Mimpi
Melina adalah salah seorang anak kembar Faridah. Pada suatu hari Melina berkenalan dengan Benny yang berketurunan Arab. Benny menyapa Melina ketika dia sedang minum di sebuah gerai di Auckland. perkenalan mereka merupakan permulaan hubungannya dengan lelaki yang lahir di Dubai itu. Dari segi peribadi Melina agak bebas. Dia sangat berbeza dengAnne yang begitu taat dengan ajaran Islam. Dia juga tidak tinggal bersama-sama keluarganya di Christchurch, sebaliknya memilih tinggal di Auckland dan bekerja sebagai pembantu pelukis pelan. Benny meneruskan perhubungannya dengan Melina. Mereka saling bertemu dan berbincang tentang pelbagai perkara. Benny memberitahu dia akan ke Malaysia kerana hendak melihat tempahan perahu layarnya di Terengganu. Dia juga bakal ditempatkan oleh syarikat keluarganya untuk mengendalikan anak syarikat mereka di Malaysia. Dia mengajak Melina dan ajakan itu sangat-sangat dihargai oleh Melina. Dia memang teringin untuk ke Malaysia kerana tidak pernah berbuat demikian walaupun ibunya orang Malaysia. Akhirnya Benny membuat keputusan untuk mengahwini Melina . Benny dan Melina pulang ke rumah ibu bapanya di Christchurch untuk menyatakan hasrat mereka untuk berkahwin serta untuk mendapat persetujuan Soleh Johnsons.
Bab 17 : Penyembelihan Kambing
Zain ialah anak Azrul yang menuntut dalam bidang pertanian di New Zealand. Dia bekerja sambilan sebagai penyembelih kambing di pusat penyembelihan yang dimiliki oleh Soleh Johnsons. Dia tinggal bersama-sama Asraf Ameen yang berasal dari Nigeria. Pada suatu hari, mereka mendapat jemputan perkahwinan anak Soleh johnsons dan bercadang untuk menghadirinya. Zain seperti juga ayahnya, sangat meminati bidang pertanian. Dalam kalangan pelajar Malaysia di Universiti Lincoln, hanya dia seorang yang mengambil jurusan pertanian. Dia sering teringat akan pandangan ayahnya tentang kepentingan bidang pertanian. Di tanah air, ayahnya merupakan seorang peladang yang berjaya. Datuk Azrul pernah membawa isterinya melawat New Zealand ketika Zain belajar di sana. Mereka menikmati keindahan pemandangan di New Zealand ketika menaiki bot persiaran di pantai Kouikora. Menurut zain, ada ramai orang Melayu yang menetap di New Zealand. mereka menjadi orang berjaya. Pada suatu hari, Zain bertemu Anne.Zain membantu Anne yang menghadapi masalah keretanya rosak. Pertemuan itu membuatkan Zain jatuh hati pada Anne.
Bab 18 : Tanah Tumpah Air Mata
Benny membawa Melina ke Malaysia selepas dua minggu mereka dinikahkan di Masjid al-Noor, Christchurch. Di Kuala Lumpur mereka berdua dilayan dengan baik oleh pekerja syarikat yang ditugaskan untuk menjemput Benny. Benny akan memulakan tugasnya di syarikat milik bapa saudaranya Jaafar al-anbia. Dia telah lama menghabiskan masa dengan belayar. melina berasa dia berada di tempat yang sangat asing dan bimbang tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di Kuala Lumpur. Namun Benny berkata Kuala Lumpur mempunyai lebih 50 ribu orang ekspatriat asing seperti mereka berdua. Semasa di Kuala Lumpur, Khalid bertindak sebagai pemandu Benny. Dalam satu mesyuarat, Benny diperkenalkan kepada ahli-ahli lembaga pengarah syarikat milik keluarga al- Anbia. Dia diberitahu bahawa dia akan ditugaskan di pejabat cawangan Kuala Terengganu. Benny tidak menolak dan berkata dia suka akan Terengganu. Dia memang suka akan laut. Melina membeli peta untuk mencari tempat yang bernama Sungai Besar, iaitu tempat kelahiran ibunya, Faridah. Dia teringat akan ibunya yang gemar mendodokannya dengan lagu Melayu ketika dia masih kecil.
Bab 19 : hati dan Warna Kanvas
Benny membeli sebuah banglo di tepi pantai dengan harga setengah juta ringgit termasuk tanah lima ekar. Melina juga tertarik dengan suasana banglo tersebut kerana kedudukannya menghadap laut. Benny tidak bimbang dengan kewangan kerana dia yakin dapat menjual perahu layar yang ditempahnya dengan harga yang lebih tinggi. Marang telah menjadi tempat tinggal melina. Dia suka melihat laut dari beranda banglo itu. Dia memulakan minatnya kembali, iaitu melukis. Keindahan Marang diabadikan di atas kanvas lukisannya. Benny turut mengagumi bakat yang dimiliki oleh Melina. Setelah agak lama bertugas, Benny mempunyai beberapa orang kawan. Antaranya Mohamed Attar yang berasal dari pakistan, Mehmood dari Maghribi dan Noor Mohamad dari bangladesh. Mehmood masih bujang dan berniat untuk berkahwin dengan gadis di kampung halamannya. Mereka sering berbincang soal agama, soal jihad dan dakwah Islam. Benny mula sedar dan mahu kembali ke jalan Allah.
Bab 20 : Pendatang
Soleh bimbang dengan kejadian vandalisme di An Noor islamic Centre apabila beberapa buah kereta dipecahkan cerminnya. hal ini akan menyebabkan media memberikan gambaran yang salah tentang Islam. Faridah pula yakin ketenangan akan tetap terjamin. Malah Faridah sendiri pula mulanya sukar untuk menyesuaikan diri ketika mula-mula sampai di Christchurch dahulu. Dia disangka orang Maori, rakyat pribumi New Zealand. Kini dia diterima dengan baik oleh semua jiran. Dia juga mencadangkan agar ada usaha dijalankan untuk membaiki hubungan antara anggota masyarakat setempat. dia mencadangkan agar diadakan majlis ramah mesra komuniti. Cadangannya sangat disokong oleh suaminya. Mereka pun bercadang untuk menganjurkan majlis tersebut dalam masa dua minggu. Mereka akan memaklumkan perkara itu kepada komuniti setempat. Mereka juga menjemput rakan-rakan sekuliah Anne untuk membantu. Ketika merancang majlis tersebut, Faridah teringat akan kemeriahan majlis kenduri di kampung yang sudah lama ditinggalkan. Dia juga terbayangnwajah Melina yang sudah menetap di Malaysia.
Bab 21 : Tak Ingin Tahu
Zain kembali ke tanah air setelah tiga tahun berada di New Zealand. Zain mendapati banyak perubahan telah berlaku di kampungnya dalam tempoh ketiadaannya. Azrul pula dianugerahi gelaran 'Datuk' kerana berjasa kepada rakyat melalui penglibatannya dalam bidang pertanian. Beliau juga menggalakkan para petani untuk menanam modal dalam Pertubuhan Peladang di samping berusaha menyatukan kebun-kebun tradisi menjadi estet mini kelapa sawit dan dusun buah-buahan. Ketika Datuk Azrul berbual dengan Zain, tiba-tiba Masitah muncul untuk mendapatkan tandatangan tentang urusan pengambilan tenaga pekerja asing. Datuk Azrul mengambil pekerja asing untuk bekerja dengannya kerana tiada pilihan. Menurut Datuk Azrul, anak-anak tempatan semuanya sudah berpendidikan tinggi dan tidak sesuai bekerja di ladang.
Bab 22 : Mengukur Usia
Datuk Azrul mengimamkan sembahyang Asar. Dia berasa sedih kerana tidak ramai jemaah yang hadir ke masjid. Hal ini demikian kerana kebanyakan penduduk kampung terdiri daripada orang tua. Banyak juga yang menghidap penyakit gout. Jemaah solat Jumaat juga kini berkurangan hingga sekitar 60 orang sahaja. Kebun-kebun juga telah banyak terbiar. Anak-anak yang mewarisi kebun ramai. Mereka pula tidak mahu menjual tanah pusaka masing-masing. Jadi, pemilikan tanah semakin lama semakin mengecil dan tidak ekonomi. Datuk Azrul tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah sikap masyarakat. Suasana kerjasama dalam masyarakat kini juga sudah berbeza. Zain bersetuju dengan pandangan bapanya bahawa zaman sudah berubah, Negara ini makmur kerana rakyat bekerja kuat. Pendidikan tinggi pula bukan jaminan untuk menjadi senang tetapi jalan yang memudahkan. Datuk Azrul sendiri berjaya dalam bidangnya kerana beliau berpendidikan tinggi. Namun dia masih tidak berjaya mengubah pandangan masyarakat setempat untuk mengusahakan tanah secara lebih komersial. Zain memberitahu Datuk Azrul bahawa dia sudah mempunyai pilihan teman hidup iaitu seorang gadis kacukan di New Zealand. Datuk Azrul tidak membantah dengan pilihan anaknya.