Sabtu, 22 Disember 2012

Bacaan tambahan : Gurindam Tingkatan 4

Gurindam  12 Fasal Yang Keenam

Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.

Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala setiawan.

(Petikan daripada Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


Maksud

Rangkap 1:
Saranan agar mencari rakan yang baik dan boleh memberikan manfaat kepada kita.
Rangkap 2:
Saranan agar mencari guru yang mahir tentang muslihat musuh.
Rangkap 3:
 Saranan agar memilih isteri yang taat setia akan suami.
Rangkap 4:
 Saranan agar memilih kawan yang tahu erti setia kawan.

Tema

Nasihat bagi memilih orang yang ingin kita dampingi

Persoalan

1. Kepentingan mencari kawan yang baik dan setia.

2. Guru yang bijak dapat mengajar muridnya menilai perkara yang baik dan buruk.

3. Seorang isteri yang baik selalunya taat kepada suami.

Gaya Bahasa

1. Kata klasik - contohnya cahari.

2. Kata kiasan - contohnya ubat.

3. Pengulangan frasa - contohnya cahari olehmu.

4. Asonansi - contohnya pengualngan vokal a - cahari olehmu akan sahabat.

5. Aliterasi - contohnya pengulangan konsonan b - Yang boleh dijadikan ubat.

Nilai

1. Kepatuhan

2. Kebijaksanaan

3. Rasional

4. Setiakawan

5. Keikhlasan

Pengajaran

1. Kita haruslah bijak mencari kawan yang sanggup berkongsi ketika susah dan senang.

2. Kita perlulah mencari guru yng dapat membimbing kita menilai perkara yang baik dan yang buruk.

. Kita hendaklah mencari isteri yang patuh dan taat kepada suami.


 

Bacaan tambahan : Seloka Tingkatan 4

SELOKA EMAK SI RANDANG

Baik budi Emak Si Randang,
Dagang lalu ditanakkan
Tiada kayu rumah diruntuhkan,       
Anak pulang kelaparan,
Anak di pangku diletakkan,
Kera di hutan disusui,
Dagang pergi awak terhutang,
Beras habis padi tak jadi.

Md. Ali Bachik (Penyelenggara)
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
Dewan Bahasa dan Pustaka

MAKSUD

Seloka ini mengisahkan Emak Si Randang yang baik hati. Dia rela memasakkan  makanan untuk membantu orang dagang yang tidak dikenalinya. Emak Si Randang sanggup berhabis-habisan bagi melayan tetamunya sehingga sanggup meruntuhkan rumah jika tidak berkayu. Namun demikian, Emak Si Randang mengabaikan anaknya sendiri. Setelah orang dagang itu  pergi, Emak Si Randang  terpaksa menanggung hutang kerana kehabisan beras sedangkan padi yang ditanamnya tidak menjadi.


TEMA

Sikap masyarakat yang terlalu mengagungkan orang luar berbanding ahli keluarga sendiri.

PERSOALAN

1.    Persoalan rasional ketika melakukan sebarang tindakan
2.    Persoalan pembaziran yang perlu dielakkan .
3.    Persoalan tanggungjawab seorang ibu terhadap keluarga.

BENTUK

           1.    Terdiri daripada satu rangkap.
            2.    Bilangan baris dalam rangkap tersebut ialah 8 baris.
            3.    Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3  hingga 4.
·           Dagang lalu ditanakkan (3 perkataan)
·           Tiada kayu rumah diruntuhkan (4 perkataan)
           4.    Terdiri daripada 8 hingga 10 suku kata.
·         Dagang lalu ditanakkan (8 suku kata)
·         Tiada kayu rumah diruntuhkan (10 suku kata)
            5.    Rima akhir seloka   ini ialah abbbbcac
            6.    Seloka ini berbentuk bebas.

GAYA BAHASA

1.    Asonansi - Anak pulang kelaparan - a diulang 6 kali
2.    Aliterasi  - Anak dipangku diletakkan  - k  diulang 4 kali
3.    Sinkope  - Beras habis padi tak jadi ( baris 8)
4.    Anafora-
Anak pulang kelaparan
Anak di pangku diletakkan
5.    Penggunaan peribahasa -  Kera di hutan disusui
6.    Hiperbola -  Tiada kayu rumah diruntuhkan

NILAI

1.    Nilai kebijaksanaan.
Seseorang perlu bijaksana menggunakan akal fikiran  dalam melakukan sesuatu tindakan.

2.    Nilai bertanggungjawab.
Seseorang ibu perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak.

3.    Nilai berbudi
Kita disarankan berbudi kepada semua orang tetapi mestilah berpada-pada.

PENGAJARAN

1.    Kita janganlah melebih-lebihkan orang luar dan sebaliknya mengabaikan ahli keluarga sendiri agar kehidupan lebih harmoni.
2.    Kita mestilah menggunakan akal fikiran yang rasional dalam sebarang tindakan agar tidak mendapatkan kesan yang buruk.
3.    Kita hendaklah melayan  tetamu dengan berpada-pada agar tidak berlakunya pembaziran.


Bacaan Tambahan : Prosa Tradisional Tingkatan 4

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

Sinopsis

Awang Sulung Merah Muda sebagai anak raja telah menyamar sebagai budak hitam yang comot sehingga dipandang hina oleh Tuanku Nakhoda Tua. Ketika dilanda ombak yang bergelora, seisi geliung (kapal) telah mabuk dan jatuh pengsan. Anak Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah meminta dayangnya Si Kembang Cina pergi memanggil Awang Sulung Merah untuk mengemudikan geliung itu. Atas bantuan Awang Sulung Merah, geliung itu dapat diselamatkan

Setelah tiga hari kemudian , ketika laut sudah tenang, jurumudi di geliung itu telah sedar lalu mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam . jurumudi itu menunjukkan keris yang berdarah kepada Tuanku Nakhoda Tua lalu mengatakan bahawa dialah yang menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua yang baru sedar daripada mabuk itu turut mempercayai jurumudi itu dan berjanji jika geliung itu selamat tiba di tanah Jawa, puterinya akan dikahwinkan kepada orang yang menyelamatkan geliung itu.

Beberapa hari kemudian, anak kapal diminta mengambil air dan kayu api. Anak kapal lain telah pergi ke pulau untuk mengambil air dan kayu bakau. Sebaliknya Awang Sulung Merah telah berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air laut dan membawa balik batang nipah. Setelah itu Tuan Puteri minum air laut itu dan mendapati bahawa air yang masin itu telah bertukar menjadi air yang manis.

Tuanku Nakhoda Tua menghimpun semua anak kapal lalu mengumumkan bahawa sesiapa yang menyelamatkan baginda, puteri baginda dan geliung itu daripada bajak (lanun) ketika meredah kawasan Laut Sekona Lingga itu dikahwinkan dengan puteri baginda .


Ketika melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Semua anak kapal telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri sendiri. Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina untuk meminta bantuan Awang Sulung Merah. Awang Sulung Merah merajuk. Tuan Puteri pun menyuruh Si Kembang Cina menyediakan air limau dan sabun kepada Awang Sulung Merah. Setelah mandi, Awang Sulung Merah kelihatan kacak dan berseri-seri. Ketika lanun ternampak Awang Sulung Merah mereka mengenali penghulu mereka lalu meminta ampu. Semua lanun telah menyerahkan semua dinar emas kepada Awang Sulung Merah untuk melangsaikan hutang kepada Datuk Batin Alam. Semua lanun pun undur dari situ.

Sekali lagi jurumudi itu mencabut kerisnya dan menikam ayam lalu mengatakan bahawa dialah yang mengalahkan bajak dan menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua berasa gembira lalu hendak mengahwinkan Puteri Dayang Seri Jawa dengan jurumudi itu. Tuan Puteri memarahi ayahandanya lalu menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Akhirnya Tuanku Nakhoda Tua mengadakan kenduri secara besar-besaran dan mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah.


Setelah beberapa ketika kemudian, geliung itu pun belayar hingga Negeri Pati Talak Terengganu. Bujang Selamat telah dititahkan oleh baginda untuk bertanya tentang tujuan kedatangan rombongan Awang Sulung Merah. Atas keizinan isteri, Awang Sulung Merah dan anak buah pun diundang ke istana Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung Merah dijemput bertaruh dalam sabung ayam. Setelah Awang Sulung Merah berseru-seru, ayam baginda Kinantan Suci telah berjaya menewaskan ayam Bujang Selamat.

TEMA

Tema prosa ‘Pelayaran yang penuh peristiwa’ adalah tentang kebijaksanaan dan keberanian dalam menghadapai sesuatu peristiwa.

PERSOALAN

·         Bantu membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi

·         Kebijaksanaan dalam menghadapi ujian.

·         Keberanian dalam menghadapi musuh.

·         Berani bercakap benar tentang sesuatu perkara yang berlaku.

·         Menepati janji tentang sesuatu perkara.

WATAK DAN PERWATAKAN

Awang Sulung Merah Muda

·         Anak raja yang tampan dan memiliki gigi yang cantik dan bercahaya

·         Anak Tuanku Si Helang Laut, cucu Tuanku Si Helang Mawai

·         Memiliki kepandaian luar biasa seperti berjaya menukar ombak ganas kepada tenang,air masin menjadi sarbat yang manis, alat kebesaran berbunyi sendiri dan isi alam menyambut kedatangannya ketika berkunjung ke  Negeri Pati Talak Terenggganu.

·         Menyamar menjadi budak yang hitam dan hodoh

·         Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih, sangat dihormati dan di takuti oleh lanun-lanun

·         Memiliki seekor ayam sabung yang hebat iaitu Kinantan Suci

Tuan Puteri Dayang Seri Jawa

·         Menjadi juragan geliung/kapal besar

·         Cantik, tangkas dan sangat dicintai oleh jurumudi

·         Mengagumi kehebatan yang dimiliki oleh Awang Sulung

·         Sentiasa dijaga oleh Awang Sulung sepanjang pelayaran

·         Menjadi isteri Awang Sulung Merah Muda

·         Sangat dikasihi ayahandanya iaitu Tuanku Nakhoda Tua

·         Pandai mengemudi kapal

Si Kembang Cina

·         Pembantu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang setia

·         Sentiasa berada di samping Tuan Puteri

·         Memahami perasaan cinta Tuan Puteri terhadap Awang Sulung

·         Menurut perintah, pandai memujuk

Jurumudi

·         Seorang yang suka menipu terutama kepada Tuanku Nakhoda Tua

·         Menyintai Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dan ingin mengahwininya

·         Berpura- pura gagah tetapi sebenarnya penakut

Bujang Selamat

·         Pesuruh baginda raja Negeri Pati Talak Terengganu

·         Penyampai utusan baginda raja dengan Awang Sulung

·         Menurut perintah

Tuan Puteri Pinang Masak

·         Anak baginda raja Negeri Pati Talak Terengganu

·         Menasihati ayahandanya agar menjemput tetamu datang

·         Baik hati dan menghormati tetamu

PLOT

Permulaan

·         Kisah bermula dengan pelayaran Awang Sulung Merah Muda bersama Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menggunakan geliung panjang untuk ke Tanah Jawa.

Perkembangan

·         Geliung mengalami masalah untuk dikendalikan oleh Tuan Puteri – bergerak laju dan tidak dapat dikawal.

·         Semua anak kapal mengalami mabuk dan muntah kecuali Awang Sulung, Tuan Puteri dan Si Kembang Cina

·         Tuan Puteri keletihan dan meminta Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi

·         Awang Sulung mengambil alih tugas mengemudi geliung.

Perumitan/ Konflik

·         Geliung tersebut terpaksa berlabuh di Pulau Tapai kerana kehabisan kayu dan air

·         Namun geliung itu gagal berlabuh kerana gelombang yang kuat

·         Awang Sulung menggunakan kepandaiannya untuk menjadikan keadaan air laut tenang.

·         Jurumudi geliung cemburu dengan kebolehan Awang Sulung dan telah berbohong kepada Tuanku Nakhoda Tua bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah

·         Baginda berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang Berjaya menyelamatkan geliung hingga sampai ke Tanah Jawa

Klimaks

·         Tuan puteri telah menguji kecekapan dan kepandaian Awang Sulung

·         Awang Sulung Berjaya mengatasi semua ujian tersebut

·         Geliung terpaksa meredah kawasan laut yang dipenuhi lanun. Semua anak kapal takut berhadapan lanun termasuklah jurumudi

·         Dengan kebijaksanaan Awang Sulungsemua lanun dapat diperdayakan. Mereka memintaampun dan menyerahkan barangan berharga kepada Awang Sulung.

Peleraian

·         Awang Sulung Berjaya membayar hutangnya kepada Tuanku Nakhoda Tua menggunakan barangan pemberian lanun- lanun

·         Tuan Puteri memaklumkan kepada ayahandanya bahawa Awang Sulunglah yang telah menyelamatkan geliung itu selama ini.

·         Sebagai balasan , Tuanku Nakhoda Tuan mengahwinkan Awang Sulung dengan Tuan Puteri

·         Akhirnya Awang Sulung dan Tuan Puteri  sampai ke Negeri  Pati TAlak Terengganu selepas belayar merentasi beberapa buah pulau.

TEKNIK PLOT

Tenik Pemerian

·         Pemerihalan sewaktu Awang Sulung mandi.

Teknik Suspen

·         Ketika Tuan Puteri hendak dinikahkan dengan jurumudi.

Teknik Dialog

·         Dialog antara Tuanku Nakhoda Tua dan Tuan Puteri. “Silalah anakanda ke balairung seri”. “Baiklah ayahanda”

LATAR

Masa

·         Beberapa hari

Tempat

·         Di kawasan laut menuju ke Tanah Jawa

·         Di dalam geliung

·         Di Pulau Tapai

Masyarakat

·         Masyarakat bangsawan yang terdiri daripada raja dan tuan puteri

·         Masyarakat bawahan seperti anak- anak kapal

·         Masyarakat lanun

·         Masyarakat yang taat akan perintah

GAYA BAHASA

Bahasa Istana

·         Beta, santap, kakanda, ayahanda

Bahasa Klasik

·         Geliung

Peribahasa

·         Enau mencari sigai, berkecil hati

Silime

·         Bagai air di kuali, bagai purnam empat belas haribulan

Puisi

·         Bintang tujuh tinggal enam

Jatuh satu ke Gunung Daik

                Bercahayalah sepuh hilang senam

                                Itulah tanda emas yang baik

NILAI

·         Merendah Diri

-          Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot

·         Keyakinan

-          Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup ambil alih tugas mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan

·         Berani

-          Awang Sulung berani menentang lanun yang cuba menyerang geliung Tuan Puteri

·         Kasih Sayang

-          Awang Sulung  dengan Tuan Puteri saling menyanyangi selepas berkahwin

PENGAJARAN

·         Kita hendaklah sentiasa merendah diri di mana-mana saja kita berada supaya kita akan di hormati

·         Kita hendaklah berani menghadapi pelbagai rintangan demi mencapai matlamat

·         Kita hendaklah bijak agar dapat menyelesaikan suatu masalah yang timbul

·         Kita hendaklah bersedia memberi bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan

·         Kita hendaklah berani mengaku kesalahan yang dilakukan agar tidak menimbulkan kekesalan pada masa hadapan.