Sabtu, 5 Jun 2010

Latihan Rumusan

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang keburukan internet dalam masyarakat dan langkah langkah mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perkembangan komunikasi khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT) sememangnya telah membawa perubahan secara menyeluruh kepada cara hidup kita. Perkembangan teknologi tersebut begitu cepat dan pantas sehinggakan dunia ini seolah-olah tiada sempadan. Salah satu daripada rangkaian teknologi maklumat yang tidak asing bagi kita ialah internet iaitu jaringan telekomunikasi secara maya.

Internet sudah sinonim dengan rakyat negara kita. Kemudahan tersebut boleh diperoleh sama ada di rumah, sekolah, institusi –institusi pengajian tinggi, pejabat, pusat beli- belah dan sebagainya. Bagaimanapun, perkembangan tersebut telah mendapat teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak kerana ada golongan tertentu cuba menyalahgunakan kemudahan internet untuk kepentingan peribadi. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah meminta pihak polis menahan dan menyoal siasat mana- mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan internet.

Sebenarnya, internet boleh mendatangkan pelbagai keburukan jika disalahgunakan. Pada kebiasaannya, kebanyakan laporan yang dikeluarkan melalui internet adalah berasaskan khabar angin dan tuduhan liar. Selain itu, internet juga boleh menimbulkan sentimen perkauman dalam masyarakat yang berbilang kaum. Penyebaran artikel, khabar-khabar angin, gosip, isu-isu sensitif seperti agama, hak istimewa orang Melayu misalnya akan merenggangkan hubungan antara kaum di negara kita. Penyebaran perkara yang tidak betul ini akan mencetuskan kekacauan sehingga memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Terdapat sesetengah pihak menggunakan internet untuk memburuk-burukkan serta menabur fitnah terhadap individu lain sehingga menyebabkan maruah dan reputasi seseorang itu tercemar. Suatu ketika dahulu, kita telah dikejutkan dengan berita penyebaran gambar-gambar lucah yang melibatkan rakyat tempatan. Perbuatan seperti ini akan menjatuhkan maruah individu tersebut dan keluarganya. Selain itu, penggunaan internet tanpa kawalan telah meningkatkan kos penyelenggaraan. Pengguna internet terpaksa menjelaskan bil-bil internet, telefon dan sebagainya. Bagi pengguna yang berkunjung ke kafe siber, mereka terpaksa membayar sewa antara RM4 hingga RM5 sejam.

Ketagihan dalam internet turut mewujudkan masyarakat yang antisosial. Hal ini terjadi demikian kerana seseorang yang ketagih dengan internet, akan terus meluncuri internet sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Menurut kajian, seseorang yang terlalu lama meluncuri internet, tahap kesihatan mereka akan terjejas. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak cukup tidur dan makan tidak mengikut waktu.

Walau bagaimanapun, kemunculan internet juga banyak mendatangkan kebaikan kepada manusia. Melalui internet kita dapat memperoleh banyak maklumat dan mengetahui perkembangan dunia luar. Apa yang penting, kita sebagai pengguna haruslah menjadi pengguna internet yang bijak.

Jumaat, 4 Jun 2010

Karangan Bahan Rangsangan - Punca kemalangan jalan raya

Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang isu kemalangan jalan raya. Kita dapat menyaksikan betapa kian meningkatnya kemalangan jalan raya di negara ini.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan kemalangan ini salah satunya berpunca daripada lampu isyarat yang rosak. Hal ini akan menyebabkan kesesakan lalu lintas seterusnya mengakibatkan kenderaan mereka terbabas.

Bertitik tolak daripada itu, kemalangan juga boleh berlaku apabila ada pemandu yang memandu dalam keadaan menghadapi tekanan perasaan.. Kemampuan pemandu untuk mengawal kenderaan akan berkurangan ketika tertekan. Hal ini kerana mereka memandu dalam keadaan emosi.

Kita sering membaca di dada-dada akhbar, antara punca kemalangan adalah disebabkan oleh jalan raya yang rosak. Ada sesetengah pemandu yang tidak sedar akan keadaan sebenar jalan dan memandu dalam keadaan yang laju. Hal ini menyebabkan kemalangan berlaku sehingga boleh membawa maut.

Kesimpulannya, tiada sakit yang tiada penawarnya. Oleh itu, usaha mengurangkan kadar kemalangan yang gigih pasti akan membuahkan hasil yang berkualiti untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara ini. Moga bilangan kemalangan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan. Pandu cermat jiwa selamat.

[120 patah perkataan]

Karangan bahan rangsangan - Cara-cara untuk mengekalkan permainan tradisional dalam kalangan remaja di Malaysia.

Warisan Negara merupakan asset yang bernilai tinggi dan harus dijaga rapi. Permainan tradisional adalah salah satu cabang warisan negara yang kian luput ditelan zaman. Bertitik tolak daripada manifestasi itu, setiap individu perlulah menggarap dan mempertahankan warisan permainan tradisional negara. Contohnya permainan congkak, gasing dan wau. Warisan sebegini telah berabad-abad lamanya telah dihidupsuburkan oleh nenek moyang kita dan tidak seharusnya generasi alaf langit terbuka kini meminggirkan budaya permainan turun-temurun ini. Hakikatnya di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Tiada penyakit yang tiada penawarnya. Pelbagai usaha yang efektif dan drastik boleh dilaksanakan bagi memastikan warisan terunggul permainan tradisional ini lestari terpelihara. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam menyemai sikap cinta akan permainan tradisional dalam diri anak-anak. Amnya, pendidikan bermula dari rumah. Sejajar dengan itu, ibu bapalah yang perlu mencorak anak-anak yang diibaratkan seperti kain putih itu kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Di samping itu, ibu bapa perlulah membelikan peralatan permainan tradisional seperti congkak dan wau sekali gus mengajar anak-anak mereka bermain permainan tersebut. Pendedahan awal sangat penting bagi tunas negara ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Secara tidak langsung, minat terhadap permainan ini akan dapat disemai dalam diri generasi muda dewasa ini.

Seterusnya, pihak sekolah juga tidak terlepas dalam usaha menjayakan hasrat murni ini. Hal ini kerana sekolah adalah rumah kedua bagi pelajar yang rata-ratanya daripada golongan remaja. Pihak sekolah perlulah melancarkan minggu permainan tradisional. Secara tidak langsung pelbagai pertandingan akan dianjurkan. Contohnya pertandingan permainan gasing, congkak atau permainan galah panjang. Selain itu, acara-acara permainan sebegini juga boleh diselitkan dalam majlis-majlis tertentu seperti kejohanan olahraga sekolah dan majlis sambutan Hari Guru. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Pendekatan sebegini hakikatnya lebih efektif. Sesi pengajaran dalam kelas juga perlu diberi perhatian. Tajuk permainan tradisional juga boleh dijadikan tugasan kepada golongan pelajar contohnya bagi mata pelajaran sivik. Secara tidak langsung, para pelajar akan mengkaji dan menyelidik tentang sesuatu permainan tradisional hingga ke akar umbi. Oleh itu, mereka tidak akan cetek informasi dan hal ini dapat mendaulatkan permainan tradisional dalam kalangan remaja.

Selain itu, media massa seperti stesen televisyen, radio dan akhbar seharusnya turun padang. Hal ini kerana menerusi media massa suatu perkhabaran akan dapat dicanag atau diuar-uarkan secara cepat dan tepat. Oleh itu, pihak yang terlibat sewajarnya berkempen dengan menyiarkan iklan-iklan berkaitan permainan tradisional yang kian dipinggirkan. Sebagai contoh, langkah beberapa stesen televisyen menyiarkan produk pelancongan di Malaysia menunjukkan betapa komitmennya kementerian pelancongan untuk menarik pelancong datang ke sesebuah tempat. Langkah pragmatik sebegini boleh diguna pakai untuk mempromosikan permaiana tradisional di negara kita. Umum juga mengetahui bahawa media dan kerajaan mempunyai pertalian yang erat. Media massa merupakan medium perantara antara rakyat dan kerajaan. Hal ini secara langsung mempermudah untuk mengangkat martabat permainan tradisional gah di seluruh dunia.


Sebagai intiha, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan demi memastikan visi kudsi warisan bangsa ini tidak hilang ditelan arus modenisasi. Resmi manusia habis madu sepah dibuang perlulah dikikis untuk menjulang warisan leluhur bangsa ini. Tiada dahulu, tiadalah sekarang. Warisan terunggul permainan tradisional perlulah dipelihara sebaik-baiknya agar warisan gemilang zaman ini tidak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan dalam meniti arus globalisasi ini.
[512 patah perkataan]

Karangan - Peranan ibu bapa dalam memupuk semangat membaca dalam kalangan remaja

Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang isu budaya membaca yang kian meruncing dalam kalangan remaja. Acap kali kita dengar, slogan Membaca Jambatan Ilmu sering menghiasi dada-dada akhbar, internet dan televisyen. Hal ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca dapat memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Namun demikian, masyarakat Malaysia terutamanya remaja tidak gemar membaca sehingga menyebabkan mereka tidak menguasai ilmu pengetahuan dan bolehlah diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya fenomena ini berlaku sehingga remaja Malaysia banyak yang buta maklumat? Tepuk dada tanya selera.

Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memupuk semangat membaca dalam kalangan remaja? Hal ini kerana ibu bapalah orang yang paling hampir dengan anak-anak dan sudah tentulah ibu bapa tahu metode yang terbaik untuk mendepani permasalahan ini. Oleh yang demikian, ibu bapa sewajarnya mengeluarkan model dengan membeli bahan-bahan bacaan dan bahan-bahan ilmiah untuk anak-anak mereka. Dalam konteks ini, minat membaca dalam diri remaja dapat disemai sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan kepada remaja. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa hendaklah kerap membawa anak-anak mereka ke kedai buku pada setiap hujung minggu. Berdasarkan manifestasi tersebut, remaja dapat memilih buku-buku yang hendak dibeli oleh mereka sekali gus menambahkan minat dalam diri mereka. Setelah dikaji hingga ke akar umbi, remaja dapat mengetahui jenis-jenis buku yang dibaca oleh mereka sekiranya remaja kerap ke kedai buku. Umum mengetahui, anak-anak ibaratkan kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya sama ada kea rah kejayaan atau kegagalan.

Pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah menyediakan bilik khas untuk membaca di rumah seperti perpustakaan yang mempunyai banyak buku di dalamnya. Dalam konteks ini, remaja dapay membaca dalam keadaan yang senyap dan harmoni. Secara tidak langsung, remaja tidak akan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat-pusat beli-belah, merokok dan lumba haram. Hal ini kerana, remaja mengisi masa yang terluang dengan membaca bahan-bahan ilmiah di rumah mereka. Mereka menjadikan rumah sebagai pusat atau gedung ilmu yang boleh mencanai minda sihat. Oleh yang demikian, remaja akan memanfaatkan masa dengan berkesan kerana masa itu emas. Manakala ibu bapa pula akan berasa selamat kerana anak-anak berada di rumah. Jadi tidak timbullah fenomena sudah terantuk baru terngadah kerana kerana kegagalan ibu bapa memanfaatkan masa yang terluang anak-anak, maka mereka terlibat dengan dakyah songsang.

Tambahan pula, ibu bapa hendaklah menyediakan banyak sudut bacaan di rumah. Secara tidak langsung, remaja tidak akan berasa bosan untuk membaca, malah semakin minat untuk membaca. Hal ini kerana mereka tidak tertakluk dalam satu-satu ruang bacaan sahaja sebaliknya mereka boleh memanfaatkan semua sudut rumah mereka sebagai tempat untuk membaca. Dalam pada masa yang sama, ibu bapa usah jemu-jemu memberi dorongan dan nasihat kepada remaja agar mereka terus mengamalkan budaya membaca dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung, remaja akan menyedari kepentingan membaca dalam kehidupan mereka. Setelah dikaji hingga ke akar umbi, ibu bapa juga harus memupuk minat membaca dalam diri mereka sendiri agar dapat dicontohi remaja bak kata pepatah ke mana tumpahnya muah kalau tidak ke nasi. Oleh itu, sesuai dengan kata-kata mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Bin Muhammad iaitu Kepimpinan Melalui Teladan kerana bapa borek anak rintik.

Umum mengetahui bahawa setiap tahun pihak kerajaan akan mengadakan Karnival Buku yang merangkumi pameran buku atau jualan buku di mana-mana sahaja di negara kita. Kesempatan sebegini harus digunakan oleh ibu bapa untuk membawa seisi keluarga mengunjungi karnival tersebut. Dalam konteks ini, remaja akan didedahkan secara terus tentang buku-buku terkini yang ada di pasaran. Kaedah ini secara tidak langsung mewujudkan keadaan dua dalam satu iaitu sambil mengunjungi karnival buku bersama-sama, secara konotasinya dapat memantapkan hubungan kekeluargaan. Sudah semestinya ibu bapa akan menggunakan peluang ini untuk membeli buku-buku yang banyak kerana ada potongan harga dengan kadar yang rendah diberikan. Penjimatan dapat dilakukan sambil melabur untuk kepentingan pendidikan anak-anak pada masa akan datang. Impaknya, ibu bapa mampu menyemai budaya membaca dalam kalangan remaja seawal usia muda.

Meninjau kepentingan membaca dalam kalangan remaja ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang berterusan agar mempunyai kesimbungan dengan ilmu pengetahuan. Antara kaedah yang boleh dijalankan ialah dengan menampal keratin-keratan surat khabar, artikel ilmiah baik berkaitan pelajaran ataupun pengetahuan am. Dengan demikian, tanpa disedari remaja akan melihat dan membaca berulang-ulang kali tentang bahan yang ditampal tersebut. Pada realitinya, budaya membaca akan semakin ditekankan dalam lingkungan ahli keluarga amnya dan remaja khasnya. Oleh itu, penggunaan masa yang sebaik mungkin akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

Sebagai kesimpulan, budaya membaca perlu dipupuk dalam kalangan remaja. Ibu bapa merupakan agen penting dalam memupuk kesedaran ini kerana budaya membaca mampu mencetuskan idea yang bernas dan penuh dengan visi dan misi dalam kehidupan mereka. Justeru, ibu bapa yang Berjaya memupuk minat membaca dalam kalangan remaja secara langsung dapat mengelakkan remaja daripada perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan dampak negatif kepada mereka. Biar kita menangis dahulu sebelum kita menangis kemudian kerana sesal dahulu pendapat, sesal kemudian tiada gunanya. Jelaslah bahawa Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.

[800 patah perkataan]

Karangan terkini - Kepentingan Perpaduan Kaum

“Lagi serangan bom di Selatan Thai”
“Empat maut ditembak tentera Hamas”
“Mahasiswa Perancis melancarkan tunjuk perasaan”
Saban hari kita disogohkan dengan berita-berita kekacauan yang berkait rapat dengan tipisnya perpaduan kaum di sesebuah negara. Malahan, sejak sedekad yang lalu, antara sedar atau tidak kita dihidangkan dengan angka kematian yang menggerunkan berikutan peperangan yang meletus hampir di setiap empat penjuru alam. Bermula dari perselisihan faham yang kecil berlakulah kejadian pembunuhan yang kemudiannya melahirkan lebih banyak perasaan dendam. Seterusnya, tercetuslah perang saudara. Begitu mudah manusia hilang kewarasan. Nyawa seakan-akan tiada nilai dan maut dijadikan permainan yang akan menjelma pada bila-bila masa.

Resmi dunia yang tidak dapat diterima akal ini berpunca daripada perpaduan yang goyah. Perpaduan adalah asas kemakmuran masyarakat dan negara. Bersatu teguh, bercerai roboh, peribahasa yang dicipta oleh nenek moyang kita ini seharusnya dihayati dan dijadikan iktibar. Kita tidak mahu peristiwa kejatuhan Melaka berulang. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Memang tidak boleh dinafikan merudumnya era kegemilangan Melaka yang menandakan bermulanya era penjajahan di Tanah Melayu berpunca daripada kelicikan penjajah mengambil kesempatan atas kebaikan pemimpin tempatan. Namun, sedarkah kita bahawa perpecahan dalam kalangan pembesar telah memberi ruang kepada anasir jahat ini untuk menular dan menjadi barah yang menusnahkan. Justeru, bagi melestarikan kemerdekaan yang dikecapi hasil perpaduan rakyat dan pemimpin ini, semua pihak harus mengikis sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Raja diibaratkan seperti pokok, sementara rakyat adalah akarnya. Seandainya rakyat saling bertelagah mampukah pohon kerajaan itu tetap bertahan? Tepuk dada tanya selera. Perpaduan yang disemai akan mewujudkan negara bangsa yang bukan sahaja makmur malahan berdaya maju dan disegani. Dengan perpaduan yang jitu, usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan negara setaraf dengan negara maju yang lain akan menjadi mudah danbukanlah sesuatu yang mustahil.

Bukan itu sahaja, perpaduan akan membawa kepada perkambangan bidang pendidikan. Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia kerana mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Seandainya Malaysia mampu mencontohi Singapura yang memiliki sistem pendidikan yang terbaik di dunia, bermakna Malaysia juga akan mempunyai sistem ketenteraan secanggih Singapura. Berbekalkan kemajuan teknologi dan ketenteraan ini, keamanan dan kemakmuran negara tidak akan tergugat. Di samping itu, selari dengan taraf mentaliti rakyat Malaysia, bidang ekonomi akan turut berkembang. Malaysia kini merupakan negara pengguna dan dengan perpaduan, Malaysia mampu menjadi negara pengeluar. Kuasa ekonomi yang dipegang akan menjadikan Malaysia negara yang terbilang dan berkuasa. Namun, untuk mengecapinya bukanlah sesuatu yang mudah. Yang bulat tak akan datang bergolek , yang pipih tak akan datang melayang.

Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Ironinya, Malaysia yang merupakan negarta Islam mempunyai taraf kebersihan yang rendah dan sangat mengecewakan. Hal ini kerana, sikap segelintir rakyat yang bersikap endah tak endah dan ambil mudah aspek kebersihan. Anjakan paradigma perlu dilakukan bagi memastikan kemakmuran Malaysia terjamin. Rakyat perlulah bersatu hati menjaga kebersihan kerana melalui kebersihan, kesihatan yang baik diperoleh. Tanpa rakyat yang sihat, mana mungkin sesebuah negara mengecapi kegemilangan. Kesihatan merupakan nikmat hidup yang paling besar dan tidak sewajarnya dipandang enteng. Janganlah kita sudah terantuk, baru terngadah.

Konklusinya, perpaduan adalah asas kemakmuran masyarakat dan negara. Perpaduan secara tidak langsung telah meningkatkan pelbagai aspek termasuklah pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial dan kesihatan. Justeru, setiap warganegara perlu mengekalkan perpaduan bagi mengelakkan kemakmuran yang dikecapi kini sirna begitu sahaja. Tanpa perpaduan yang utuh, musuh negara akan mengambil peluang untuk menggulingkan negara. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Seruan Perdana Menteri Malaysia 'Satu Malaysia', Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan perlulah direalisasikan agar visi kudsi negara dapat direalisasikan.
[455 patah]