Jumaat, 4 Jun 2010

Karangan terkini - Kepentingan Perpaduan Kaum

“Lagi serangan bom di Selatan Thai”
“Empat maut ditembak tentera Hamas”
“Mahasiswa Perancis melancarkan tunjuk perasaan”
Saban hari kita disogohkan dengan berita-berita kekacauan yang berkait rapat dengan tipisnya perpaduan kaum di sesebuah negara. Malahan, sejak sedekad yang lalu, antara sedar atau tidak kita dihidangkan dengan angka kematian yang menggerunkan berikutan peperangan yang meletus hampir di setiap empat penjuru alam. Bermula dari perselisihan faham yang kecil berlakulah kejadian pembunuhan yang kemudiannya melahirkan lebih banyak perasaan dendam. Seterusnya, tercetuslah perang saudara. Begitu mudah manusia hilang kewarasan. Nyawa seakan-akan tiada nilai dan maut dijadikan permainan yang akan menjelma pada bila-bila masa.

Resmi dunia yang tidak dapat diterima akal ini berpunca daripada perpaduan yang goyah. Perpaduan adalah asas kemakmuran masyarakat dan negara. Bersatu teguh, bercerai roboh, peribahasa yang dicipta oleh nenek moyang kita ini seharusnya dihayati dan dijadikan iktibar. Kita tidak mahu peristiwa kejatuhan Melaka berulang. Jangan sampai pisang berbuah dua kali. Memang tidak boleh dinafikan merudumnya era kegemilangan Melaka yang menandakan bermulanya era penjajahan di Tanah Melayu berpunca daripada kelicikan penjajah mengambil kesempatan atas kebaikan pemimpin tempatan. Namun, sedarkah kita bahawa perpecahan dalam kalangan pembesar telah memberi ruang kepada anasir jahat ini untuk menular dan menjadi barah yang menusnahkan. Justeru, bagi melestarikan kemerdekaan yang dikecapi hasil perpaduan rakyat dan pemimpin ini, semua pihak harus mengikis sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Raja diibaratkan seperti pokok, sementara rakyat adalah akarnya. Seandainya rakyat saling bertelagah mampukah pohon kerajaan itu tetap bertahan? Tepuk dada tanya selera. Perpaduan yang disemai akan mewujudkan negara bangsa yang bukan sahaja makmur malahan berdaya maju dan disegani. Dengan perpaduan yang jitu, usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan negara setaraf dengan negara maju yang lain akan menjadi mudah danbukanlah sesuatu yang mustahil.

Bukan itu sahaja, perpaduan akan membawa kepada perkambangan bidang pendidikan. Orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia kerana mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Seandainya Malaysia mampu mencontohi Singapura yang memiliki sistem pendidikan yang terbaik di dunia, bermakna Malaysia juga akan mempunyai sistem ketenteraan secanggih Singapura. Berbekalkan kemajuan teknologi dan ketenteraan ini, keamanan dan kemakmuran negara tidak akan tergugat. Di samping itu, selari dengan taraf mentaliti rakyat Malaysia, bidang ekonomi akan turut berkembang. Malaysia kini merupakan negara pengguna dan dengan perpaduan, Malaysia mampu menjadi negara pengeluar. Kuasa ekonomi yang dipegang akan menjadikan Malaysia negara yang terbilang dan berkuasa. Namun, untuk mengecapinya bukanlah sesuatu yang mudah. Yang bulat tak akan datang bergolek , yang pipih tak akan datang melayang.

Kebersihan merupakan sebahagian daripada iman. Ironinya, Malaysia yang merupakan negarta Islam mempunyai taraf kebersihan yang rendah dan sangat mengecewakan. Hal ini kerana, sikap segelintir rakyat yang bersikap endah tak endah dan ambil mudah aspek kebersihan. Anjakan paradigma perlu dilakukan bagi memastikan kemakmuran Malaysia terjamin. Rakyat perlulah bersatu hati menjaga kebersihan kerana melalui kebersihan, kesihatan yang baik diperoleh. Tanpa rakyat yang sihat, mana mungkin sesebuah negara mengecapi kegemilangan. Kesihatan merupakan nikmat hidup yang paling besar dan tidak sewajarnya dipandang enteng. Janganlah kita sudah terantuk, baru terngadah.

Konklusinya, perpaduan adalah asas kemakmuran masyarakat dan negara. Perpaduan secara tidak langsung telah meningkatkan pelbagai aspek termasuklah pembangunan, pendidikan, ekonomi, sosial dan kesihatan. Justeru, setiap warganegara perlu mengekalkan perpaduan bagi mengelakkan kemakmuran yang dikecapi kini sirna begitu sahaja. Tanpa perpaduan yang utuh, musuh negara akan mengambil peluang untuk menggulingkan negara. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Seruan Perdana Menteri Malaysia 'Satu Malaysia', Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan perlulah direalisasikan agar visi kudsi negara dapat direalisasikan.
[455 patah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan