Ahad, 20 Mac 2011

Latihan Rumusan 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan faktor-faktor kanak-kanak memilih makanan kurang berkhasiat dan kesan pemakanan tersebut kepada kanak-kanak. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.

Kecenderungan kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan mula tertarik dengan iklan-iklan makanan segera yang mengiurkan. Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna, dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan kemudaratan. Begitu juga dengan kandungan lemak tepu, gula, dan garam yang tinggi ditambah kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat malah, beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak lambakan pil vitamin yang boleh diperoleh di farmasi-farmasi dan ejen-ejen jualan langsung. Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplimen seperti ini.

Menurut, Coughlin dalam jurnalnya yang bertajuk ‘Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence’ terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, antaranya apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah yang kononnya bertujuan untuk dinikmati semasa bersantai sambil menonton televisyen bersama keluarga di rumah. Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat. Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak , yogurt atau kismis.

Keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran adalah terhad kerana ada ibu bapa yang memaksa anak-anak makan satu-satu jenis makanan sahaja. Hal ini akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa. Maka, ibu bapa harus bijak mempelbagai jenis dan cara makanan disajikan namun yang penting, khasiat makanan tetap terpelihara dan mendatangkan manfaat kepada perkembangan minda dan fizikal anak-anak. Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng, seperti yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Kanak-kanak juga mempunyai emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan. Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka. Kesimpulannya pemilihan makanan yang tepat membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Dipetik daripada Motivasi dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa
sumber daripada Vijayaletchumy Subramaniam
Pelita Bahasa oktober 2008Soalan 2:Pemahaman

Soalan Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1 Berikan maksud rangkai kata mendatangkan krmudaratan

[2 markah]

2 Apakah kesan yang wujud apabila anak-anak mengambil makanan segera secara tidak terkawal?

Berikan tiga kesan. [3 markah]

3 Ibu bapa yang bijak mampu menyediakan makanan yang seimbang kepada anak-anak untuk menjaga kesihatan. Pada pendapat anda , bagaimanakah cara lain untuk menjaga kesihatan yang baik?

Berikan empat cara. [4 markah]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan