Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan langkah-langkah menangani masalah emosi pelajar dan kebaikan mengatasinya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.
Tragedi seorang pelajar mati akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah memang menyayat hati. Begitu juga dengan cubaan pelajar perempuan tingkatan tiga yang diserang histeria mengancam untuk terjun dari tingkat dua bangunan sekolah mujur dapat diselamatkan. Dua kejadian ini walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil namun tidak boleh diambil mudah kerana berkait rapat dengan masalah emosi pelajar. Sakit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar melibatkan mental.
Oleh sebab itu, satu makenasisme mengenal pasti masalah depresi mental dari peringkat awal perlu diwujudkan oleh pihak sekolah agar dapat ditangani seawal mungkin sebelum menjadi serius. Sebagai permulaan, kaunselor di sekolah perlu memainkan peranannya supaya masalah berkaitan emosi pelajar ini tidak melarat sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Kaunselor tidak lagi boleh hanya sekadar mengadakan program berkaitan universiti terbaik, kerjaya pilihan atau teknik menjawab soalan tetapi perlu meluaskan skop bidang mereka. Seharusnya kaunselor perlu menganjurkan program yang boleh mewujudkan kesedarah ke arah mengenal pasti punca, simptom dan kaedah menangani masalah berkaitan emosi.
Manakala pentadbir sekolah dan guru kelas pula perlulah sentiasa peka dengan sebarang perubahan sikap dan tingkah laku pelajar. Mereka perlu mengambil tindakan segera dan jangan mengambil mudah sebarang ugutan atau ancaman khususnya yang dinyatakan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Dalam pada itu, langkah kementerian kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah mulai Januari 2011 tepat pada masanya. Modul tersebut diperkenalkan di empat buah sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Pada masa yang sama, pentadbir sekolah dan guru juga perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, berikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk beriadah bagi mengurangkan tekanan dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum khususnya untuk pelajar yang bukan pada tahun peperiksaan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum boleh menyihatkan badan, menambahkan kemahiran dan membentuk semangat berpasukan. Malah aktiviti kokurikulum juga memberi kelebihan kepada pelajar untuk memasuki universiti awam.
Pelbagai pendekatan juga perlu difikirkan oleh pihak sekolah. Kerjasama rumah dan sekolah amat membantu dalam menangani permasalahan emosi pelajar. Paling mudah, ibu bapa akan segera memberitahu pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menghadapi masalah selain menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah menangani masalah tersebut. Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga boleh mewar-warkan pelbagai kaedah penyelesaian terbaik kepada masyarakat agar masalah emosi pelajar ini dapat diatasi.
Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan pentadbir sekolah dan guru untuk menjadualkan aktiviti pelajar supaya dapat melahirkan modal insan yang holistik, bijak, sihat dan berpersonaliti unggul.
(Diubahsuaikan daripada rencana Menangani Masalah Emosi Pelajar oleh Azmy Mohamed, Utusan Malaysia, 14 Februari 2011)
Soalan Pemahaman
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata berpersonaliti unggul. [2 markah]
2 Berikan tiga kebaikan sekiranya pelajar-pelajar menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
[3 markah]
3 Sekiranyanya anda menghadapi masalah emosi, bagaimanakah penyelesaian terbaik untuk menghadapi masalah tersebut?
Berikan empat cadangan. [4 markah]
cikgu , boleh tanya soalan rumusan ini dari negeri apa?
BalasPadam