Isnin, 14 November 2011
Sabtu, 23 Julai 2011
Masih Ada Waktu
masa yang bermakna
tak kembali cuma seketika
perlu mencatu rona maya
dalam secangkir madu dunia
Isnin, 23 Mei 2011
Tajuk Karangan SPM Yang Perlu Diberi Perhatian Tahun 2011
1. Tema : Semangat Kejiranan
Arah : Langkah
2. Tema : Gaya Hidup Sihat
Arah : Peranan ibu bapa
3. Tema : Disiplin
Arah : Peranan ibu bapa
4. Tema : Hubungan Kasih Sayang
Arah : Peranan ibu bapa
5. Tema : Riadah dan Rekreasi
Arah : Kebaikan
6. Tema : Kehilangan Kanak-kanak
Arah : Langkah mengatasi
7. Tema : Keselamatan Kanak-kanak
Arah : Peranan sekolah, ibu bapa dan masyarakat
8. Tema : Bangunan Bersejarah
Arah : Kepentingan menjaga dan Langkah memulihara
9. Tema : Gejala Sosial / Lumba Haram
Arah : Langkah-langkah mengatasi
10. Tema : Polisi Sekolah Selamat
Arah : Usaha pihak sekolah
11. Tema : Jenayah Antarabangsa
Arah : Kerjasama antara negara (Langkah)
12. Tema : Tabungan
Arah : Faedah dan Usaha
13. Tema : Pelancongan (Inap Desa)
Arah : Langkah-langkah meningkatkan
14. Tema : Penyakit Berjangkit
Arah : Bentuk kerjasama antara negara (Langkah mengatasi)
15. Tema : Pengangkutan Awam
Arah : Langkah memperkasa / Kepentingan
16. Tema : Membaca
Arah : Cara menggalakkkan
17. Tema : Alat Komunikasi (Telefon Bimbit, Internet)
Arah : Kesan
18. Tema : Perpaduan Kaum
Arah : Peranan keluarga meningkatkan perpaduan kaum
19. Tema : Industri Kraftangan
Arah : Langkah-langkah memperkasakan
20. Tema : Rancangan Televisyen Realiti
Arah : Usaha ibu bapa mengawal kecenderungan menonton rancangan televisyen realiti
Ahad, 1 Mei 2011
Sedetik berlalu
membawa aku menyongsong kenangan lalu
menghanyut aku ke lembah belantara mimpi
memayung hujan peristiwa dulu
mengimbau ke segenap penjuru kalbu
membuka lembaran hidup lelah
mengejar impian merah bernyala
api semangat membakar lara
mengheret entah bila
Renyah kedamaian itu
melihat aku yang tidak tentu
belum kelihatan arah tuju
Ada cinta mengetuk pintu
terbiar hapus ikut waktu
pada wajah lesu
belum cukup
jitu
aku
biar berlalu
sanggup
tidak
sedetik berlalu
Remy, Tiss
Jumaat, 29 April 2011
Lakonan Kehidupan
aku berlari mengejar bayang-bayang
teraba-raba dalam gelap dan bertanya
mana bayang-bayang hidupku?
Siang tadi bayang-bayang datang bersama mentari
mengekori langkahku ke segenap pencarian hidup
semakin lama bayang-bayang berselindung di balik wajah
kepura-puraan rupanya
aku tidak berpijak di bumi nyata
melakonkan watak badut yang menangis kesiangan
di wajah terpalit warna sendu
di hati menangis pilu
Lakonan sudah berakhir
aku kembali ke bumi nyata
menampar pipiku terasa sakit
benar aku tidak mimpi
berjalan di alam khayal
biar aku penat
menyapu air mata sayu
piala kemenangan tak pernah kurangkul
layar hidup sudah kututup
menanti ceritera baru
dipentas semula
di atas dinding kepalsuan
Tiss, Batu Pahat
Selasa, 5 April 2011
Seorang perempuan tua
melurut rambut usianya yang semakin senja
menunggu muara pencipta yang bakal kunjung tiba
hatinya sendu melara minta ditemani
Seorang perempuan tua menyikat usia tuanya
bersama mimpi indah semalam yang berlalu
belum tentu dapat menyingkap sejarah silam
mengimbau pahit maung kehidupan fana
Seorang perempun tua mengurut letih kaki kedutnya
menampakkah jaringan gigi condong belum masa menyembah bumi
melemparkan senyum hambar ke ruang bisu
dalam wajah perempuan tua ada makna yang tersirat
yang perlu diungkapkan menjelang pengakhir usia
Tiss - Remy
Jumaat, 1 April 2011
Latihan Puisi Tradisional Tingkatan 5
Md. Ali Bachik (ILADAM) (Penyelenggara
PANTUN ENAM KERAT
Putik kelapa menjadim muda,
Kelapa muda jadi kemirau,
Sudah kemirau menjadi kotai;
Hati luka pura tiada,
Rasa pedih buat tak hirau,
Ibarat kaca jatuh ke lantai.
Ambil galah jolok kedondong,
Galah pendek buluh sumpitan,
Buluh bersisip tali jerami;
Bukan salah ibu mengandung,
Sudah takdir sudah suratan,
Sudah nasib jadi begini.
Sarat bermuat ikan cencaru,
Gelama tidak berumpan lagi,
Kail tersangkut di tepi batang;
Sudah dapat orang yang baru,
Yang lama tidak berkenan lagi,
Ibarat melukut di tepi gantang.
Khazanah Puisi Klasik Melayu, 2003
ILADAM dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM)
Soalan pemahaman
(i) Berikan maksud ibarat melukt di tepi gantang [2 markah]
(ii) Mengapakah kita tidak boleh melupakan jasa kawan lama walaupun kita tidak lagi berkawan dengan mereka? [3 markah]
(iii) Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam pantun tersebut.
[4 markah]
Malam
bersama bisikan syahdu
sendu mengiringi aku
meniti perjalanan kembara sendu
desiran semilir angin malam
membawa renungan jauh
di sebalik kabut kelmarin
melintasi ruang waktu yang cepat berlalu
memaku aku ke dalam diriku
erti malam sungguh dalam
bagi aku yang masih perlu menghitung hari-hari usiaku
menunggu malam-malam datang
menguliti aku dengan seribu janji penyesalan
Tiss
1 April 2011
Ahad, 20 Mac 2011
Latihan Rumusan 2
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan faktor-faktor kanak-kanak memilih makanan kurang berkhasiat dan kesan pemakanan tersebut kepada kanak-kanak. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.
Kecenderungan kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan yang tidak sihat. Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan mula tertarik dengan iklan-iklan makanan segera yang mengiurkan. Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna, dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan kemudaratan. Begitu juga dengan kandungan lemak tepu, gula, dan garam yang tinggi ditambah kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.
Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat malah, beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak lambakan pil vitamin yang boleh diperoleh di farmasi-farmasi dan ejen-ejen jualan langsung. Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplimen seperti ini.
Menurut, Coughlin dalam jurnalnya yang bertajuk ‘Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence’ terdapat beberapa faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat pemakanan yang tidak sihat, antaranya apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah yang kononnya bertujuan untuk dinikmati semasa bersantai sambil menonton televisyen bersama keluarga di rumah. Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat. Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak , yogurt atau kismis.
Keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran adalah terhad kerana ada ibu bapa yang memaksa anak-anak makan satu-satu jenis makanan sahaja. Hal ini akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa. Maka, ibu bapa harus bijak mempelbagai jenis dan cara makanan disajikan namun yang penting, khasiat makanan tetap terpelihara dan mendatangkan manfaat kepada perkembangan minda dan fizikal anak-anak. Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng, seperti yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.
Kanak-kanak juga mempunyai emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan. Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka. Kesimpulannya pemilihan makanan yang tepat membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.
Dipetik daripada Motivasi dalam Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa
sumber daripada Vijayaletchumy Subramaniam
Pelita Bahasa oktober 2008Soalan 2:Pemahaman
Soalan Pemahaman
Jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata mendatangkan krmudaratan
[2 markah]
2 Apakah kesan yang wujud apabila anak-anak mengambil makanan segera secara tidak terkawal?
Berikan tiga kesan. [3 markah]
3 Ibu bapa yang bijak mampu menyediakan makanan yang seimbang kepada anak-anak untuk menjaga kesihatan. Pada pendapat anda , bagaimanakah cara lain untuk menjaga kesihatan yang baik?
Berikan empat cara. [4 markah]
Sabtu, 19 Mac 2011
Kuasa-Nya
Tak tergambar kekuasaan-Mu
Tak terhitung kegemilangan-Mu
Tak terucap kegahan-Mu
Sekelip mata ombak menggulung tinggi
Sekelip mata menghanyut puing-puing ciptaan manusia
Sekelip mata meratakan permukaan daratan
Sekelip mata menjadi padang jarak padang terkukur
Jangan kau tentang kuasa-Nya
Jangan kau halang anugerah-Nya
Jangan kau kesal keagungan-Nya
Jangan kau tolak pemberian-Nya
Kita perlu bersyukur dengan nikmat-Nya
Kita perlu bertafakur dengan inayat-Nya
Kita perlu muhasabah dengan ujian-Nya
Kita perlu sedar dengan cabaran-Nya
Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat-Nya
Marilah kita membanyakkan sujud kepada-Nya
Marilah kita mengambil iktibar daripada pengajaran-Nya
Marilah kita menyedari kekuasaan-Nya
Tiada yang lain selain MAHA PENCIPTA
Remy , Mac 2011
Ahad, 6 Mac 2011
Latihan Rumusan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan berkenaan langkah-langkah menangani masalah emosi pelajar dan kebaikan mengatasinya. Panjang rumusan anda mestilah tidak melebih 120 perkataan.
Tragedi seorang pelajar mati akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah memang menyayat hati. Begitu juga dengan cubaan pelajar perempuan tingkatan tiga yang diserang histeria mengancam untuk terjun dari tingkat dua bangunan sekolah mujur dapat diselamatkan. Dua kejadian ini walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil namun tidak boleh diambil mudah kerana berkait rapat dengan masalah emosi pelajar. Sakit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar melibatkan mental.
Oleh sebab itu, satu makenasisme mengenal pasti masalah depresi mental dari peringkat awal perlu diwujudkan oleh pihak sekolah agar dapat ditangani seawal mungkin sebelum menjadi serius. Sebagai permulaan, kaunselor di sekolah perlu memainkan peranannya supaya masalah berkaitan emosi pelajar ini tidak melarat sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Kaunselor tidak lagi boleh hanya sekadar mengadakan program berkaitan universiti terbaik, kerjaya pilihan atau teknik menjawab soalan tetapi perlu meluaskan skop bidang mereka. Seharusnya kaunselor perlu menganjurkan program yang boleh mewujudkan kesedarah ke arah mengenal pasti punca, simptom dan kaedah menangani masalah berkaitan emosi.
Manakala pentadbir sekolah dan guru kelas pula perlulah sentiasa peka dengan sebarang perubahan sikap dan tingkah laku pelajar. Mereka perlu mengambil tindakan segera dan jangan mengambil mudah sebarang ugutan atau ancaman khususnya yang dinyatakan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Dalam pada itu, langkah kementerian kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah mulai Januari 2011 tepat pada masanya. Modul tersebut diperkenalkan di empat buah sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Pada masa yang sama, pentadbir sekolah dan guru juga perlu memahami Falsafah Pendidikan Negara yang mahu melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Justeru, berikan ruang dan peluang kepada pelajar untuk beriadah bagi mengurangkan tekanan dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum khususnya untuk pelajar yang bukan pada tahun peperiksaan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum boleh menyihatkan badan, menambahkan kemahiran dan membentuk semangat berpasukan. Malah aktiviti kokurikulum juga memberi kelebihan kepada pelajar untuk memasuki universiti awam.
Pelbagai pendekatan juga perlu difikirkan oleh pihak sekolah. Kerjasama rumah dan sekolah amat membantu dalam menangani permasalahan emosi pelajar. Paling mudah, ibu bapa akan segera memberitahu pihak sekolah sekiranya anak-anak mereka menghadapi masalah selain menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah menangani masalah tersebut. Pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru juga boleh mewar-warkan pelbagai kaedah penyelesaian terbaik kepada masyarakat agar masalah emosi pelajar ini dapat diatasi.
Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan pentadbir sekolah dan guru untuk menjadualkan aktiviti pelajar supaya dapat melahirkan modal insan yang holistik, bijak, sihat dan berpersonaliti unggul.
(Diubahsuaikan daripada rencana Menangani Masalah Emosi Pelajar oleh Azmy Mohamed, Utusan Malaysia, 14 Februari 2011)
Soalan Pemahaman
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1 Berikan maksud rangkai kata berpersonaliti unggul. [2 markah]
2 Berikan tiga kebaikan sekiranya pelajar-pelajar menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah.
[3 markah]
3 Sekiranyanya anda menghadapi masalah emosi, bagaimanakah penyelesaian terbaik untuk menghadapi masalah tersebut?
Berikan empat cadangan. [4 markah]