Sabtu, 22 Disember 2012

Bacaan tambahan : Cerpen Tingkatan 4

Cerpen Biarkan Samudera
 ( Raihanah Salleh)

      Cerpen ini mengisahkan Amirah seorang mahasiswi yang sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini. Dia seorang anak nelayan yang miskin dan susah. Amirah juga tidak pernah mendapat kasih sayang daripada seorang ibu kerana ibunya meninggal dunia sebaik sahaja dia dilahirkan ke dunia. Dia hanya ada seorang ayah yang menjagA, memberi perhatian dan kasih sayang kepadanya. Dia juga mempunyai seorang kenalan bernama Hakimah iaitu sahabatnya semasa belajar di situ dan telah banyak membantu apabila Amirah menghadapi masalah.
      Hati Amirah telah dilanda dengan pelbagai masalah sehingga menggangu ketenangan jiwa dan pelajarannya. Penderitaan batinnya itu boleh disamakan dengan samudera yang sedang bergelombang dan bergelora yang kuat tetapi mulai mengecil apabila tiba di pantai. Ingatan Amirah kepada kehidupannya di perkampungan nelayan tidak boleh dihilangkan dengan mudah ”di saat dia ingin melupakan, saat itulah pula dia datang menerawang dan berlegar-legar dalam benaknya itu.
      Amirah mengatakan ”Samudera ialah khazanah kehidupan nelayan, manakala kesejahteraan dan keharmonian nelayan mengeksploitasi dan memanfaatkan khazanah itu akan menjamin kelangsungan dinamika keseimbangan ekosistem samudera”. Fikiran Amirah terus mengingati kehidupan di kampungnya di mana setiap hari dia melihat gelombang ombak membadai pantai yang cantik itu. Hatinya menjadi sayu dan pilu sehingga air matanya pula seolah-olah akan gugur ke bumi.
      Tiba-tiba Hakimah mengajak Amirah keluar ke bandar kerana pada hari itu (sabtu) mereka cuti dan tiada kuliah. Mir ialah nama timbangan Amirah. Dia teringat kata-kata ayahnya ” sudah tidak ada apa-apa lagi yang tinggal buat kita Mir, segala-galanya kosong. Segala-galanya tidak bererti”. Kata-kata itu benar-benar menghimpit perasaan Amirah, hatinya berasa pedih dan perih kerana hujung semester nanti dia akan pulang bercuti. Dimanakah dia akan tinggal, adakah di samudera kerana rumahnya telah dirobohkan oleh pihak pemaju yang akan menjadikan kampung itu sebagai pusat pelancongan. Ayah Mir menyatakan sekarang ini rumah-rumah penduduk kampungnya telah dirobohkan oleh pihak pemaju, kehidupan nelayan hampir musnah suatu ketika nanti. Mereka tidak berhak menuntut apa-apa daripada pihak pemaju kerana tanah itu tidak bergeran, pemaju hanya menjanjikan sederet rumah papan panjang sebagai ganti rugi kepada penduduk yang terlibat. Amirah tidak dapat menggambarkan perasaan ayah kerana dia dengan samudera sudah sebati dan tidak dapat dipisahkan lagi. Apabila muncul pusat pelancongan sudah pasti ayah tidak dapat membelah samudera lagi.
      Hakimah rungsing melihat keadaan Amirah yang menjadi pemurung, lemah dan tidak bersemangat berbanding dulu dia seorang mahasiswi yang berjiwa kental. Hakimah menasihati Amirah bertemu kaunselor kerana mengalami konflik jiwa yang hebat iaitu skizofrenia.Dia kelihatan tidak bermaya dan mempunyai sikap bosan terhadap hidup, dan mengabaikan pelajaran. Hakimah perlu membantu Mir kerana dia tiada siapa lagi untuk meminta bantuan.
      Ibu Hakimah telah memberikan hadiah satu bungkusan kain berwarna kepada Mir dan teringin sangat hendak berjumpa dengan Mir. Ibu Hakimah berpesan supaya Mir selalu bersolat mendekatkan diri kepada Tuhan. Mungkin dia sepatutnya membuang perasaan kesalnya jauh-jauh seperti samudera yang tidak pernah berehat daripada bergelora, yang berubah hanya pantai iaitu kehidupan bapanya.
Tiba-tiba Amirah terdengar suara ayahnya yang menasihatinya supaya berusaha membina kehidupannya pada masa akan datang. Dia tidak mahu Mir terlalu memikirkan hidupnya kerana perkara seperti itu telah menjadi satu suratan takdir. Mir perlu menggantikan rumah yang telah dirobohkan itu, ayahnya tumpang bangga dengan kejayaam Mir nanti.
      Ayah Mir berpesan lagi supaya dia akan menjaga samudera jangan sampai dikhianati, boleh dibangunkan tetapi keasliannya mestilah dipelihara. Bermula dari saat itu semangat Amira telah pulih kembali. Hakimah amat gembira melihat perubahan yang berlaku kepada Mir. Dia sudah menjaga solatnya dengan baik dan berkata kepada Hakimah ”Hadiah ibumu ini akan kupakai lima kali sehari” Amirah kelihatan tenang berada di atas sejadah itu.

Tema

Persahabatan yang ikhlas mampu menyelesaikan konflik.
-Hakimah yang berkawan baik dengan Amirah berjaya membantu rakannya itu menyelesaikan konflik jiwa yang dihadapi akibat umah ayahnya dirobohkan

Persoalan

- Keadaan hidup nelayan yang serba kekurangan.

- Pembangunan kawasan pantai akan menyebabkan laut terdedah kepada pencemaran.

- Sahabat baik adalah sahabat yang sentiasa di sisi sama ada keadaan senang mahupun susah.

- Usaha mendekatkan diri kepada Tuhan adalah jalan terbaik untuk memperoleh ketenangan jiwa.

- Pembangunan boleh dilaksanakan di tepi pantai, asalakn tidak mencemari laut yang banyak mempunyai kepentingan kepada kehidupan kehidupan manusia.

- Kasih sayang ayah terhadap anak

- Tanggungjawab seorang rakan.
 
- Kepentingan kaunseling dalam kehidupan remaja.

- Kepentingan kata-kata perangsang daripada seorang bapa kepada anaknya.

Watak dan Perwatakan

1. Mir atau Amirah

Berjiwa kental pada asalnya tetapi bertukar menjadi gadis yang berjiwa lemah.
- Sejak rumahnya yang terletak di tepi pantai dirobohkan, Mir menjadi pemurung.

Penuntut di pusat pengajian tinggi.
- Di kampus, Mir tinggal sebilik dengan Hakimah.

Seorang anak yang baik
- Mir sentiasa mengenangkan nasib dan kata-kata ayahnya.

Mengalami konflik jiwa atau skizofrenia.
- Konflik itu dialaminya setelah rumahnya dirobohkan. Kawasan tapak rumahnya yang terletak ditepi pantai itu akan dibangunkan sebagai pusat peranginan.

Tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu.
- Mir tidak mendapat kasih sayang ibu kerana ibunya meninggal dunia sebaik sahaja Mir dilahirkan.

2. Hakimah
ialah sahabat baik Mir.

Seorang gadis terpelajar.
- Dia belajat di pusat pengajian tinggi bersama Mir.
Seorang yang baik hati.
- Dia sentiasa membantu Mir. Hakimah membawa Mir ke rumahnya untuk bertemu dengan ibunya yang mahu membantu memulihkan semangat Mir.
Hakimah sangat sayang akan ibunya.
- Dia beruntung kerana mempunyai seorang ibu yang sentiasa prihatin, lemah lembut dan berhati mulia.
3. Ayah

AyahMerupakan bapa kepada Mir.
- Ayah sudah tua dan berbadan kurus.
Seorang nelayan
- Sudah bertahun-tahun lamanya, ayah sentiasa bergelumang dengan laut dan ombak.
Miskin dan mencari rezeki di laut.
- Setelah rumahnya dirobohkan, ayah terpaksa tinggal di rumah papan panjang berderet yang dikongsi bersama jiran-jiran yang juga nelayan.
Sayang akan laut.
- Ayah mengumpamakan laut sebagai dirinya dan dirinya adalah laut.
Redha dengan nasib dirinya.
- Ayah menerima suratan takdir bahawa dia akhirnya akan menghabiskan sisa-sisa hidupnya di rumah gantian itu.

4. Ibu

Ibu ialah emak kepada Hakimah
Seorang yang baik hati.
- Ibu menasihati Hakimah agar membantu Mir supaya tidak terus hanyut dalam konflik jiwanya itu, Ibu turut menghadiahkan telekung putih berenda yang cantik kepada Mir.
Taat pada agama.
- Ibu meminta supaya Hakimah mengajar Mir mebaca al-Quran dan mengenal Tuhan yang satu.
Lemah lembut dan prihatin.
- Melalui anaknya, Hakimah, ibu berusaha membantu Mir agar tidak terus murung dan agar pulih daripada mengalami konflik jiwa

Latar

Latar Tempat
Laut
- Tempat ayah Mir mencari rezeki.

Di rumah panjang
- Rumah gantian ayah Mir dan jiran-jiran nelayan yang lain.

Di kampus
- Tempat Mir dan Hakimah belajar

Di rumah Hakimah
- Tempat Hakimah membawa Mir bertemu dengan ibunya.

Di tepi pantai

Latar Masa
-Masa hujan rintik-rintik
-Pada hari Sabtu
-Pada waktu pagi
-Semasa sesi bimbingan kaunseling

Latar Masyarakat
Masyarakat yang penyayang
- Di wakili oleh Hakimah dan ibunya yang mempunyai sifat kasih
sayang sesama manusia. Mereka telah membantu Mir dengan ikhlas.

Masyarakat nelayan
- Rumah ayah Mir dan jiran-jirannya yang merupakan nelayan terletak
di tepi laut dan akan robohkan untuk medirikan rumah peranginan.

Masyarakat yang teguh pada ajaran agama.
- Ibu Hakimah menasihati Hakimah agar mengajar Mir membaca
al-Quran dan menghadiahkan Mir telekung putih.

Nilai
1. Belas kasihan

2. Taat pada perintah agama

3. Kasih sayang

4.Sabar

5. Berfikiran rasional

Pengajaran

1. Setiap orang hendaklah bersedia membantu sahabat yang menghadapi sebarang kesusahan dengan ikhlas

2. Kita mestilah sentiasa mengingati Tuhan kerana mengingati Tuhan akan menjadikan jiwa kita lebih tenang.

3. Pembangunan boleh dilaksanakan asalkan tidak mendatangkan kesan negatif terhadap alam sekita dan kehidupan manusia.

4. Kita hendaklah berfikir secara rasional dalam menhadapi sesuatu perkara supaya kita tidak bertindak diluar batasan

5. Hubungan antara anak dengan ibubapa hendaklah sentiasa erat supaya keutuhan institusi keluarga itu kukuh dan mewujudkan kebahagiaan.

6. Setiap masalah yang dihadapi mesti dibincangkan denagn pihak yang berwibawa supaya masalah dapat diselesaikan dengan baik dan berkesan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan