Sabtu, 22 Disember 2012

Bacaan tambahan : Syair Tingkatan 4

  Puisi Tradisional - Syair Siti Sianah

         Setengahnya perempuan terlalu janggalnya,
          Roma di muka pula dicukurnya,
          Seperti taji berandam di keningnya,
          Kemudian memakai dengan selengkapnya.

          Mengagak mengilai terlalu suka,
          Melihat laki-laki ditampakkan muka,
          Supaya laki-laki boleh menyangka,
          Ianya elok tiada berhingga.

          Setengah perempuan sangat pesolek.
          Berhias berdandan berpakai molek,
          Di dalam cermin muka ditelek,
          Kanan dan kiri dibelek-belek.

          Meskipun tiada berapa eloknya,
          Ada yang setengah kembang hidungnya,
          Serta kepik pula batangnya,
          Seperti buaya besar mulutnya.

          Setengah perempuan perangainya cela,
          Habis dipenuhi rambut kepala,
          Rambut yang sikit disiputnya pula,
          Memakai cemara berjela-jela.

          Terkadang muka ditumbuhi pupuri,
          Kaki dan tangan, lengan dan jari,
          Jadilah rupanya putih berseri,
          Pekerjaan tipu sangat digemari.

          Setengah perempuan yang makan angkat,
          Memakai gelang bertingkat-tingkat,
          Memandang laki-laki matanya lekat,
          Dengan jantan suka berdekat.

          Kaki dan tangan dinaikkan pula,
          Pura-pura dikatakan ubat segala,
          Hakikatnya diketahui Allah Taala,
          Supaya laki-laki berhati gila.

          Berlindunglah kita kepada Allah,
          Daripada perbuatan yang amat salah,
          Mudah-mudahan dilepaskanlah,
          Jangan menjadi betina sempolah.

          Setengahnya suka bermain judi,
          Inilah perangai yang banyak terjadi,
          Habislah tergadai intan serudi,
          Kerana perangai sudah membadi.

           Laki-laki perempuan bertindih lutut,
           Banyaklah kelakuan yang tidak patut,
           Sembahyang ibadat sudahlah bantut,
           Kerana syaitan duduk di buntut.

Maksud 
Rangkap 1- Segelintir wanita berlebih-lebihan ketika berdandan seperti mencukur bulu roma di muka dan membentuk kening. Mereka juga berhias dan memakai pakaian yang selengkapnya.


Rangkap 2- Terdapat segelintir wanita yang ketawa mengilai-ngilai. Malahan, di hadapan lelaki dia akan menunjuk-nunjukkan mukanya supaya lelaki tersebut terpikat akan kecantikannya.


Rangkap 3- Ada sesetengah wanita yang suka bersolek dan berhias. Mereka juga sanggup membuang masa di hadapan cermin bagi melihat wajah mereka.


Rangkap 4- Terdapat segelintir wanita yang tidak begitu cantik dan jelita. Malahan, hidungnya kembang dan tidak mancung seperti besar mulut buaya. Namun, mereka tetap berhias.


Rangkap 5- Ada sesetengah wanita yang berperangai buruk. Mereka membuat sanggul siput untuk menutup kekurangan rambut, malahan ada yang sanggup memakai rambut palsu.


Rangkap 6- Ada juga yang melumuri bedak di kaki, tangan, lengan dan jari sehinnga putih semata-mata untuk mengaburi mata orang yang melihatnya akan kekurangan diri mereka.


Rangkap 7- Terdapat segelintir wanita yang suka dipuji. Mereka memakai gelang sehingga ke pangkal lengan dengan tujuan untuk menarik perhatian. Mereka juga suka berpeleseran dengan lelaki.


Rangkap 8- Ada juga wanita yang mendedahkan kaki dan tangan dengan alasan untuk berubat. Sebenarnya, niat mereka untuk membuatkan lelaki terpikat kepadanya. Namun, tindakan mereka diketahui Allah.


Rangkap 9- Kita hendaklah memohon perlindungan daripada Allah agar kita akan terselamat daripada segala kemungkaran, malahan dijauhi daripada berperangai seperti perempuan yang tidak berakhlak.


Rangkap 10- Sesetengah wanita suka berjudi sehingga tergadai barang kemas akibat perangai buruknya selama ini.


Rangkap 11- Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan akan mengakibatkan berlakunya perlakuan yang tidak senonoh. Mereka juga mengabaikan solat kerana hasutan syaitan.



Tema


Nasihat kepada golongan wanita bagi memelihara maruah diri.


Persoalan


1. Persoalan sikap wanita yang suka berhias hingga melanggar hukum syarak.

2. Persoalan ketaaatan kepada Allah.

3. Persoalan kesan buruk perjudian.

4. Persoalan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.


Bentuk


1. Terdiri daripada sebelas rangkap.

2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.

3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 2 hingga 6 patah kata.

4. Terdiri daripada 9 hingga 14 suku kata.

5. Rima akhir syair ini ialah aaaa

6. Syair ini adalah puisi terikat.



Gaya Bahasa


1. Asonansi - Pengulangan huruf vokal - Sesetengah perempuan perangainya cela pengulangan vokal e

2. Aliterasi - Melihat laki-laki ditampakkan muka pengulangan konsonan ki

3. Kata ganda - dibelek-belek, berjela-jela

4. Simile - Seperti taji berandam di keningnya, Seperti buaya besar mulutnya

5. Bahasa klasik - molek, cemara, intan serudi dan sempolah

6. Peribahasa - makan angkat


Nilai


1. Nilai kesopanan- Seseorang wanita yang berada di khalayak ramai perlu bersopan santun seperti jangan ketawa mengilai-ngilai.

2. Nilai kesederhanaan- Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri.

3. Nilai ketaatan kepada agama.Setiap tindakan yang ingin dilakukan oleh seseorang harus berlandaskan agama.

4. Nilai kesyukuran. Bersyukurlah dengan kurniaan Tuhan dan menerima kekurangan diri.


Pengajaran

1. Seseorang wanita haruslah menjaga adab dan perilaku agar dihormati oleh orang lain..

2. Seseorang wanita perlu bersederhana dalam penampilan diri, namun tidaklah secara berlebih-lebihan agar tidak menimbulkan fitnah.

3. Kita tidak harus terlibat dengan sebarang aktiviti perjudian agar tidak berlakunya pembaziran.

4. Seseorang wanita haruslah menjaga batas pergaulan dengan golongan lelaki agar terpelihara daripada maksiat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan