Sabtu, 22 Disember 2012

Bacaan tambahan : Sajak Tingkatan 4

Sajak Tiba Waktunya (Ghazali Lateh) 

Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Haruskan kita tunduk mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih sejahtera?
Usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buat mewajar padah atau simpati.

Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Lepaskan segala belenggu kedaifan
huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan diuji
tinggi pekerti anggun gerak-geri
terunggul dalam segala segi.

Mari kita jana semua upaya
dalam menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.

Kini sudah tiba waktunya
kita bertakhta di persada dunia.
 
Maksud


Rangkap 1- Arus globalisasi telah berlaku dengan pantas meliputi pelbagai bidang. Oleh itu, manusia perlu merebut peluang yang ada selari dengan perubahan zaman.


Rangkap 2- Wanita tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang bakal menimbulkan kekeliruan untuk membuat pilihan kerana akan merugikan masa. Perkara yang lebih penting ialah wanita perlu merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan diri dan keluarga.


Rangkap 3- Penyajak menyarankan agar wanita zaman siber berani meluahkan idea ke tengah arena negara. Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang mampu memacu negara mencapai wawasan.


Rangkap 4- Mereka perlu keluar daripada kongkongan kedaifan dan meleraikan semua yang mengelirukan. Mereka juga perlu berani, berkeyakinan tinggi, tabah di samping menjaga budi pekerti serta hebat semua bidang.


Rangkap 5- Penyajak mengajak wanita supaya mengangkat martabat mereka dengan kekuatan akal dan tenaga fizikal. Dengan berbekalkan keimanan dan kecekalan, penyajak menyarankan wanita menggerakkan keupayaan maksimum.


Rangkap 6- Sekaranglah masanya untuk wanita berada di puncak pentas dunia.


Usaha mengangkat martabat wanita.



Tema- Usaha mengangkat martabat wanita.


Persoalan


1. Persoalan persaingan manusia dalam mengejar kemajuan pada zaman moden.


2. Persoalan keyakinan diri dalam usaha mendapat kesenangan dalam hidup.


3. Persoalan peranan wanita dalam masyarakat.


4. Kepentingan wanita menjadi seorang yang berani.


Bentuk


1. Terdiri daripada enam rangkap.


2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama mengandungi lima baris, rangkap kedua mengandungi tujuh baris, rangkap ketiga mengandungi empat baris, rangkap keempat mengandungi enam baris,rangkap kelima mengandungi lima baris dan rangkap terakhir mengandungi dua baris.


3. Jumlah patah kata antara tiga hingga enam.


4. Jumlah suku kata antara tujuh hingga empat belas.


5. Rima akhirnya bebas : aabcc, aaaaabb, abcc, aabbbb, aabbb dan aa.


6. Sajak ini berbentuk bebas.



Nada- Patriotik


Gaya Bahasa


1. Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : dari putik dan pucuk berembun kemilau


2. Kata ganda. Contoh : tunas-tunas, gerak geri, sisa-sisa.


3. Aliterasi :pengulangan konsonan n Contoh : merebut tunas-tunas harapan yang hijau


4. Asonansi :pengulangan vokal u Contoh :dari putik dan pucuk berembun kemilau


5. Sinkope. Contoh : kautanya


6. Hiperbola. Contoh : angin musim semakin deras dan ganas


7. Metafora Contoh : tunas-tunas harapan


8. Imajan / simbolik. Contoh : persada dunia ( puncak kejayaan)


9. Inversi Contoh : usah kautanya persoalan dilemma


Nilai


1. Nilai keberanian. Wanita kini perlu berani mengemukakan idea dan melibatkan diri dalam pelbagai bidang untuk pembangunan negara.


2. Nilai kecekalan. Kecekalan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.


3. Nilai keyakinan diri. Wanita kini perlu memiliki keyakinan diri dalam menempuh arus perdana dalam hidup.


4. Nilai berpandangan jauh. Setiap individu perlu berpandangan jauh untuk mencapai matlamat hidup.


Pengajaran


1. Wanita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam zaman moden ini demi kejayaan diri sendiri.


2. Kita mestilah cekal dalam meniti kehidupan demi kesejahteraan hidup.


3. Wanita mestilah menjaga iman dan adab sopan agar terpelihara daripada godaan dunia.


4. Wanita hendaklah berusaha mengangkat martabat mereka dengan berbekalkan kekuatan mental dan fizikal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan